Keabsahan kuota satu pertiga MP Sabah, Sarawak akan dikaji, kata menteri

Keabsahan kuota satu pertiga MP Sabah, Sarawak akan dikaji, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pegawai perundangan tertinggi akan mengkaji tafsiran dan tuntutan itu dari perspektif undang-undang.

dewan-rakyat
Dewan Rakyat sekarang terdiri daripada 222 ahli, dengan 25 dari Sabah dan 31 dari Sarawak untuk gabungan 25.2% kuasa mengundi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pegawai perundangan tertinggi kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak akan mengadakan perbincangan untuk mengkaji semula keabsahan tuntutan agar Sabah dan Sarawak diperuntukkan satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata perkara itu dipersetujui oleh Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada mesyuarat 12 Sept.

Azalina berkata bahagian hal ehwal undang-undang sepatutnya menyediakan memorandum untuk dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri selepas ia dibentangkan kepada majlis tindakan MA63.

“Bagaimanapun, pada 12 Sept 2024 majlis MA63 memutuskan untuk Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi meneliti semula tafsiran dan legitimasi ‘safeguard’ ini dari sudut perundangan.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara ini,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat kini terdiri daripada 222 ahli, iaitu 25 dari Sabah dan 31 dari Sarawak dengan gabungan 25.2% kuasa mengundi.

Perdana Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, memiliki satu pertiga daripada perwakilan itu adalah penting bagi negeri-negeri Borneo untuk menghalang kerajaan persekutuan daripada cuba membatalkan peruntukan MA63.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Tanah Melayu atau kini dikenali Semenanjung Malaysia diperuntukkan 105 daripada 160 kerusi Dewan Rakyat (mewakili 65% dewan), dengan Sarawak memegang 24 kerusi, Sabah, 16, dan Singapura, 15.

Penguasaan 34.6% dimiliki gabungan bukan Tanah Melayu itu memberikan mereka kuasa veto ke atas perubahan perlembagaan, yang memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, apabila Singapura meninggalkan persekutuan pada 1965, penguasaannya turun kepada 27% daripada 144 kerusi dalam dewan itu.

Azalina juga berkata AGC tidak menerima sebarang cadangan rasmi untuk tambahan 15 ahli Dewan Negara bagi Sabah dan Sarawak melalui pindaan perlembagaan.

“Perkara ini juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat majlis tindakan MA63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.