
Serbuan turut membawa kepada penahanan dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapha, berkata pihaknya menyita satu kotak dagangan di sebuah gudang syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang, berisi 10 bungkusan plastik mengandungi plastik lut sinar berisi pil disyaki dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 17.8kg yang dianggarkan bernilai RM2,972,600, pada 3 petang, 3 Feb lalu.
“Modus operandinya adalah penghantaran melalui perkhidmatan kurier udara dengan mengisytiharkan sebagai ‘Organic Waxmelt Vanilla’,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, pihaknya juga menemui dadah disyaki kanabis dianggarkan 4.05 kg, MDMA (0.208 kg), dan dadah disyaki jenis LSD seberat 1.973g dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di kondominium di Kuchai, pada 8.05 malam, 10 Feb lalu.
“Dua suspek warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut dan modus operandinya adalah penghantaran melalui perkhidmatan udara dengan barang diikrarkan sebagai ‘Epoxy Resin for Art and Craft’,” katanya.
Raizam berkata, sepasukan anggota bersama anjing pengesan dadah (K9) membuat pemeriksaan di Pusat Mel & Kurier di KLIA, Sepang, Selangor, terhadap dua kotak bungkusan yang membawa kepada penemuan dadah pada 21 Jan lalu.
“Hasil pemeriksaan terhadap dua kotak bungkusan itu menemui bahan kristal putih disyaki methamphetamine yang dianggarkan seberat 1.036kg bernilai kira-kira RM33,152.
“Modus operandinya adalah dengan menyembunyikan bahan berkenaan di dalam plastik silica gel yang dicampurkan bersama bahan makanan kering dan diikrarkan sebagai ‘Dry Food’ semasa pengeksportan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.