Jika GPS-PH boleh berseteru di Sarawak, kenapa tidak Warisan di Sabah, Azis bidas Lee

Jika GPS-PH boleh berseteru di Sarawak, kenapa tidak Warisan di Sabah, Azis bidas Lee

Azis Jamman daripada Warisan menegaskan Lee Chean Chung harus faham konteks politik tempatan di Sabah dan Sarawak.

Azis Jamman ingatkan Lee Chean Chung terhadap tindakan PH tinggalkan Warisan untuk menjadi sebahagian kerajaan Sabah pada 2023.
PETALING JAYA:
Warisan membidas kenyataan pemimpin PKR Lee Chean Chung yang didakwa mempersoalkan kesetiaan parti tempatan Sabah itu terhadap kerajaan perpaduan selepas memutuskan bergerak solo pada PRN.

Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman, berkata Lee seharusnya melihat konteks politik di Malaysia timur, contohnya di Sarawak menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi kerajaan manakala Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang.

Menurut bekas Ahli Parlimen Sepanggar, bagaimanapun kedua-duanya membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Apabila Warisan mahu bergerak solo di Sabah kita diminta pertimbang (keputusan) macam seolah-olah tiada kesetiaan terhadap kerajaan perpaduan, kita bercakap peringkat pilihan raya negeri.

“Situasi ini sama di Sarawak di mana PH memilih lawan GPS walaupun ia sebahagian komponen kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT sambil meminta Lee tidak melupakan tindakan PH meninggalkan Warisan di Sabah.

Beliau merujuk kepada kerjasama PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta sebahagian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri pada Januari 2023, selepas episod Langkah Kinabalu.

“PH tinggalkan kita, malah ada bertanding guna logo Warisan contohnya DAP…tetapi apabila berlaku pergolakan, tinggalkan kami dan kerjasama dengan GRS.”

Terdahulu, Lee yang juga pengarah komunikasi PKR menggesa Warisan memberikan penjelasan adakah parti itu ingin keluar kerajaan perpaduan selepas menyatakan keputusan bertanding secara solo pada PRN Sabah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu juga meminta Warisan yang dipimpin Mohd Shafie Apdal mpertimbangkan semula keputusan demi kepentingan kestabilan dan kemajuan Sabah.

Mengulas lanjut, Azis berkata Shafie sebenarnya telah memberitahu dalam mesyuarat parti kerajaan perpaduan berhubung pendirian itu.

“Di pusat tiada persoalan berhubung kesetiaan kita (Warisan) namun di peringkat negeri Sabah…kita memilih menjadi pembangkang kerana ingin ada semak dan imbang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.