Banjir makin buruk di Johor, Sabah, Sarawak

Banjir makin buruk di Johor, Sabah, Sarawak

Di Johor, jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 10,763 daripada 3,018 keluarga.

banjir johor
Keadaan banjir di tiga negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak bertambah buruk apabila merekodkan peningkatan mangsa setakat pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Johor, Sabah dan Sarawak bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) merekodkan peningkatan setakat 8 pagi ini.

Di Johor, jumlah mangsa meningkat mendadak kepada 10,763 daripada 3,018 keluarga yang ditempatkan di 98 PPS di lima daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, berkata daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,291 orang, diikuti Kluang (2,163), Kota Tinggi (1,762), Pontian (1,395) dan Kulai sebanyak 1,152 orang.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,248 daripada 396 keluarga yang dipindahkan ke 11 PPS.

“Sebanyak 14 kampung terjejas, iaitu lima di Kota Marudu, masing-masing dua di Sandakan, Beluran, Paitan dan Matunggong serta satu kampung di Pitas. Peningkatan jumlah dipindahkan hanya di Kota Marudu pagi ini manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

Di Sarawak, tiga PPS baharu dibuka bagi menampung jumlah mangsa banjir yang kini mencecah 274 orang.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, PPS Balai Raya Song yang pertama dibuka semalam, kini menempatkan 198 mangsa.

Tiga PPS baharu, iaitu Asrama Belia Kapit menempatkan 31 mangsa, Dewan Kompleks Sukan Kanowit (38), dan Dewan Komuniti Sibu Jaya (7).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.