
Di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,911 orang daripada 2,068 keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 8,040 orang (2,485 keluarga) petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, berkata semua mangsa ditempatkan di 43 PPS di lima daerah terjejas.
“Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,435 orang, diikuti Kluang (1,620), Pontian (1,426), Batu Pahat (340) dan Kota Tinggi pula 90 orang.
“Selain itu, hanya satu sungai dilaporkan melebihi paras bahaya, iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 14.99m,” katanya dalam kenyataan.
Di Sabah, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 393 orang daripada 127 keluarga pagi ini berbanding 209 orang daripada 70 keluarga malam tadi yang ditempatkan di lima PPS di Beaufort, Sipitang, Keningau.
Di Sarawak, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 970 orang di enam PPS di Sibu dan Kapit pagi ini.
Di Sibu, mangsa banjir ditempatkan di Dewan Serbaguna Selangau, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya, manakala mangsa banjir di Kapit ditempatkan di Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit dan Dewan Suarah Kapit.