Tambakan tapak lupus tak jejas kawasan perlindungan Middle Bank, kata Chow

Tambakan tapak lupus tak jejas kawasan perlindungan Middle Bank, kata Chow

Ketua menteri Pulau Pinang berkata, projek itu takkan ceroboh Middle Bank, yang terkenal dengan hidupan marin dan padang rumpai laut.

Pulau Gazumbo
Jawatankuasa Bertindak Lindungi Persiaran Karpal Singh berkata, projek penambakan di tapak pelupusan Jelutong tidak perlu, malah akan membahayakan hidupan marin. (Gambar Penang Institute)
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini cuba meredakan kebimbangan bahawa projek penambakan berhampiran tapak pelupusan Jelutong akan merosakkan ekosistem marin Pulau Pinang yang kaya di Middle Bank.

Chow berkata, projek yang masih menunggu kelulusan penilaian alam sekitar itu tidak akan menceroboh Middle Bank, dataran lumpur yang luas di luar pesisir timur Persiaran Karpal Singh, yang terkenal dengan hidupan marin dan padang rumpai laut.

Beliau berkata, kelulusan yang dinantikan adalah sebahagian daripada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang kini dipaparkan kepada umum.

“Orang ramai dan organisasi digalakkan berkongsi pandangan dengan pemaju. Jadi, jangan lepaskan peluang kemuka pandangan supaya Jabatan Alam Sekitar dapat mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita di Komtar.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Jawatankuasa Bertindak Lindungi Persiaran Karpal Singh, yang meminta kerajaan negeri tidak meneruskan penambakan itu dan mewartakan Middle Bank sebagai kawasan perlindungan marin.

Jurucakapnya, AD Chandrasekaran mendakwa, laporan EIA oleh pemaju sendiri mengesahkan bahawa tapak pelupusan itu boleh dipulihkan.

Katanya, penambakan itu tidak perlu, malah akan membahayakan hidupan marin.

“Kami mohon Chow memperjuangkan pendekatan yang benar-benar mampan dan inovatif,” katanya dalam kenyataan.

Chow bagaimanapun mempertahankan rancangan negeri itu dengan berkata, penambakan itu penting untuk menyediakan kawasan tambahan bagi pemulihan tapak pelupusan Jelutong yang sudah berdekad-dekad wujud, dan mengurangkan risiko pencemaran.

“Tapak itu, setelah dibersihkan, akan diserahkan kepada pemaju untuk pembangunan bercampur. Projek itu dijangka mengambil masa lima hingga enam tahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan menerima sebahagian tanah tebus guna itu, ‘kira-kira 20% hingga 30% daripadanya’, sebagai sebahagian daripada perjanjian konsesi.

Ditanya sama ada Pulau Pinang akan mempertimbangkan membina bangunan DUN baharu di sana, seperti yang dicadangkan sebelum ini, beliau berkata, tiada keputusan muktamad dibuat mengenai cara negeri itu akan menggunakan tanah ini.

Pada 2015, Yang di-Pertua Pulau Pinang ketika itu, Abdul Rahman Abbas mencadangkan agar DUN dipindahkan ke tapak pelupusan yang dibaik pulih itu, memandangkan bangunan DUN sekarang terlalu kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.