Pemandu lori diterkam harimau kumbang ketika buang air

Pemandu lori diterkam harimau kumbang ketika buang air

Mangsa berusia 50-an parah di kepala dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga-Seremban.

Seorang pemandu diterkam harimau kumbang di tepi jalan ketika berhenti untuk membuang air.
PETALING JAYA:
Pemandu lori cedera parah selepas diterkam harimau kumbang di kepala ketika membuang air kecil, dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga-Seremban, Negeri Sembilan, petang tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 3.31 petang.

Katanya, ia berdasarkan maklumat video tular berhubung seorang pemandu lori yang diserang seekor harimau kumbang semasa mangsa turun untuk membuang air kecil di lokasi.

“Video berdurasi 16 saat itu menunjukkan kelibat harimau kumbang sedang berlari ke arah hutan yang bertentangan.

“Susulan itu kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan segera melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian petang tadi,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dikongsikan polis, mangsa adalah warga tempatan berusia 50-an dan berasal dari Bandar Bukit Tinggi, Klang.

“Hasil siasatan juga mendapati seekor harimau kumbang dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menerkam bahagian kepala mangsa.

“Haiwan liar itu kemudian berlari ke kawasan hutan bertentangan jalan berkenaan. Terdapat bukti tompokan darah mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Seremban berada dalam keadaan sedar dan akan menjalani rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.