
Dalam kenyataan, universiti itu berkata tugasan tersebut dilakukan pelajar Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, bagi kursus ‘Contemporary Global and Legal Issues’.
Katanya, tugasan itu bertujuan menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran pelajar terhadap isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.
“Dalam sesi tersebut, pelajar telah memilih untuk membentangkan isu berkaitan diskriminasi kaum dan kebencian berasaskan warna kulit, yang merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang pernah berlaku di beberapa negara.
“Kostum serta elemen visual digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global.
“Pendekatan visual yang digunakan adalah sebahagian daripada kaedah pedagogi bagi menyokong penyampaian berimpak tinggi dalam kelas, selaras objektif kursus yang mendorong pemikiran analitik serta kesedaran sivik dalam kalangan pelajar,” katanya.
Penjelasan UiTM menyusul penularan video memaparkan pelajar memakai jubah KKK sambil memegang salib, yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
KKK berasal dari Amerika Syarikat pada abad ke-19. Ia dikenali kerana mempromosikan perkauman, nasionalisme kulit putih, dan ideologi sayap kanan ekstrem, sering kali melalui keganasan dan ugutan terutama terhadap orang Afrika Amerika serta Yahudi, pendatang dan kumpulan minoriti lain.
Dalam pada itu, UiTM berkata pensyarah dan pihak fakulti yang bertanggungjawab turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal dan berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sebarang sensitiviti berkaitan agama, budaya mahupun perkauman.
Katanya, tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.
UiTM menegaskan, pihaknya sentiasa menitikberatkan nilai sejagat seperti toleransi, hormat-menghormati dan kepekaan antara budaya dalam semua aktiviti akademik dan kokurikulum.
“Institusi ini kekal komited terhadap pendekatan pendidikan bertanggungjawab, beretika, dan berorientasikan pemikiran kritikal demi membentuk generasi pelajar yang matang dan peka terhadap isu global.
“Kami berharap penjelasan ini dapat memperjelas keadaan sebenar dan menamatkan salah tafsir terhadap tugasan dijalankan. UiTM akan terus memperkasakan pengalaman pembelajaran pelajar secara holistik dan menyeluruh,” katanya.
UiTM menyeru semua pihak menilai insiden seperti itu dalam kerangka akademik dan tidak mentafsirkannya di luar konteks asal, selaras semangat pendidikan inklusif dan dinamik yang menjadi tunjang pengajian tinggi negara.