
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Zulkarnain Mahdar, berkata keadaan itu menyebabkan sukar untuk mengelakkan kedua-duanya bertembung walaupun kedua-duanya bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah seperti diharapkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kesan luka pengkhianatan oleh Umno dan serangan berterusan terhadap GRS akan menyukarkan rundingan, masalah lebih parah sekiranya Bung Moktar Radin mengetuai Umno Sabah. Keputusan konkrit pembahagian kerusi antara GRS dan BN akan sukar dicapai.
“Asas penubuhan kerajaan Sabah hari ini terbina oleh dua gabungan parti iaitu GRS-PH dan sudah tentu dari segi persefahaman keduanya tidak mempunyai masalah besar,” katanya dalam kenyataan.
Zulkarnain merujuk cubaan rampasan kuasa didakwa digerakkan Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal pada Januari 2023 menerusi ‘Langkah Kinabalu’.
“PH telah tampil menyelamatkan kerajaan yang ada pada hari ini dan jika diukur dari segi jasa tanpa PH sudah tentu GRS ketika ini akan duduk di kerusi pembangkang,” katanya.
Dakwanya, selepas hanya kurang dua tahun kekuatan GRS telah meresap ke akar umbi dan dapatan beberapa badan bebas dan penganalisis politik juga menunjukkan gabungan parti dipimpin Hajiji menerima sokongan majoriti rakyat Sabah.
“Ironinya BN khususnya Umno sebenarnya semakin hilang sokongan.
“Walaupun kelak pertembungan kerusi antara GRS dan BN, namun ia boleh dilihat hanyalah sebagai pertandingan persahabatan memandangkan di peringkat persekutuan keduanya dalam satu pasukan,” katanya.
Jumaat lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Hajiji dalam kenyataan susulannya tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.
Semalam, Anwar berkata beliau mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama PH dan BN.