SPRM sekali lagi sita Menara Ilham

SPRM sekali lagi sita Menara Ilham

Sitaan berdasarkan notis Seksyen 51(1) AMLATFPUAA bertarikh 4 Jun.

menara ilham tower
SPRM peroleh kebenaran timbalan pendakwa raya untuk sita Menara Ilham di ibu negara. (Gambar Website)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekali lagi menyita Menara Ilham di ibu negara.

Badan antirasuah itu peroleh kebenaran untuk menyita bangunan 60 tingkat tersebut daripada timbalan pendakwa raya.

Sitaan berdasarkan notis mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) bertarikh 4 Jun.

“Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada pendakwa raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah di mana timbalan pendakwa raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen 4(1) AMLATFPUAA,” menurut kenyataan.

“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh pegawai penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi notis ini merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA.”

Pada 2023, media melaporkan timbalan pendakwa raya mengeluarkan notis penyitaan bertarikh 18 Disember tahun sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika itu dilapor berkata penyiataan itu bertujuan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menganggu siasatan, dan sitaan adalah perkara biasa.

Bulan lalu, SPRM membuka lapan kertas siasatan baharu mengenai aset ‘bernilai tinggi’ yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, dan ahli keluarganya selepas menerima maklumat baharu dari luar negara.

Awal minggu ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan aset bernilai £132 juta (RM758.2 juta) milik isteri Daim, iaitu Naimah Khalid, dan keluarga.

Aset itu dilaporkan termasuk dua bangunan komersial dan lima kediaman mewah dan satu akaun bank.

Naimah merancang untuk mencabar perintah mahkamah, yang diberikan secara ex parte, dengan hujah bahawa aset itu diperoleh secara sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.