2 lagi ditahan kes gaduh di Dataran Merdeka

2 lagi ditahan kes gaduh di Dataran Merdeka

Polis berkata seorang daripada lelaki itu mengaku memukul mangsa dan kedua-duanya kini direman.

handcuff
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata dua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan kelmarin. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Dua lagi lelaki ditahan susulan pergaduhan sekumpulan individu di Dataran Merdeka baru-baru ini, menjadikan keseluruhan tujuh suspek ditangkap setakat ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata dua suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) IPK Kuala Lumpur dalam serbuan berasingan kelmarin.

“Suspek pertama ditahan pada 1.40 pagi di depan sebuah bangunan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.

“Tangkapan kedua dilakukan pada 3.15 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, Petaling Jaya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua lelaki itu berada di lokasi kejadian, dengan seorang daripadanya mengaku memukul mangsa.

Katanya kedua-duanya kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan sekumpulan individu terbabit pergaduhan di Dataran Merdeka.

Rakaman video 23 saat yang tular di Facebook menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan ada yang membaling topi keledar sambil disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal.

Susulan itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, seorang remaja berusia 17 tahun antara lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.