
Lelaki berusia 80 tahun dari Tanjung Bunga itu membuat laporan di IPD Timur Laut, George Town, semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali pada 12 Jun lalu mendakwa wakil CyberSecurity Malaysia (CSM) di Putrajaya.
“Suspek mendakwa nama mangsa disenarai hitam kerana nombor telefonnya terbabit aktiviti penyebaran maklumat palsu. Panggilan itu kemudian disambung kepada seorang lagi individu mendakwa pegawai polis dari Balai Polis Alor Setar, Kedah.
“Mangsa diberitahu kononnya akaun banknya disyaki terbabit kes pengubahan wang haram. Dia diminta membuka akaun baharu di CIMB dan BSN atas namanya bagi tujuan membersihkan nama dan mengelak daripada ditahan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan empat transaksi pemindahan wang dalam talian berjumlah RM680,781.00 ke dua akaun baharu itu.
Menurutnya, suspek juga meminta mangsa memasukkan slip pembukaan akaun, kad ATM serta semua kad kredit miliknya ke dalam sampul surat sebelum ditinggalkan atas kotak pencawang elektrik dekat sebuah bank di Tanjung Bunga.
Katanya, mangsa kemudian membuat semakan tiga akaun banknya dan mendapati semua wang dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga tidak dikenali sebelum membuat laporan polis bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan.
Alwi menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan, khasnya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.
Semakan boleh dibuat menerusi pautan SemakMule (https://semakmule.rmp.gov.my) atau di balai polis berhampiran.