
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, dengan jumlah wakil rakyat ramai di Parlimen dan DUN, tidak mustahil komponen dikuasai PAS serta Bersatu itu bakal menentukan acuan naratif blok pembangkang sempena PRU16.
“Oleh kerana PAS parti terkuat dalam PN (berdasarkan jumlah kerusi dan mentadbir empat negeri) ada kebarangkalian ia menentukan sebahagian rancangan atau keputusan yang mungkin tidak beri kelebihan kepada parti bukan Melayu.
“Parti ini pula boleh dikatakan hampir tiada suara (di Parlimen dan DUN), jadi persepsi dikaitkan atau ikut acuan PN itu tetap ada,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy berkata wujud salah faham mendakwa kerjasama dalam blok gabungan pembangkang itu disamakan dengan keahlian rasmi dalam Bersatu, PAS atau gabungan PN.
Menurut bekas pemimpin DAP itu, menyokong platform politik lebih luas untuk mencabar kerajaan tidak bermaksud mempunyai keserasian ideologi dengan semua parti terbabit.
Bagi merealisasikan penubuhan blok itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan awal dengan semua parti di luar kerajaan pada 18 Julai lalu.
Bagaimanapun, ia tidak dihadiri PAS dengan alasan Presiden Hadi Awang mempunyai program lain.
Pertemuan itu antaranya dihadiri pemimpin Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pejuang dan Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) dan Urimai, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP).
Dari segi cabaran penubuhan blok itu, Mazlan berkata semua parti perlu mengharmonikan naratif berkait Melayu Islam dengan kepelbagaian kaum dan hak sama rata.
“Mungkin berlaku pertembungan naratif dan ini boleh menjadi dilema apakah wajah yang PN nak bawa? Ini kerana kejayaan mereka disebabkan undi Melayu.
“Sekarang ada kerjasama dengan pemimpin bukan Melayu yang dahulunya didakwa dari ‘aliran keras’,” katanya merujuk kepada Ramasamy dan P Waythamoorthy.
Menyentuh isu sama, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata gabungan pembangkang itu perlu diuruskan dengan baik untuk mengelakkan konflik berpaksikan kaum dan agama.
“Jika PN dapat melihat isu lebih besar seperti prestasi kerajaan semasa dan kebajikan rakyat, ia boleh jadi mobilisasi pembangkang untuk lebih bersepadu dengan idea menarik bagi menarik sokongan,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, pula berpendapat faktor keberadaan PAS dalam gabungan itu mungkin menjadi akan antara faktor dipertimbangkan parti lain untuk bersetuju dalam pembentukan blok terbabit.
“Betul apa diperkatakan Ramasamy yang jemputan itu tidak sama dengan menyertai PN walaupun yang jadi pelopornya Bersatu.
“Tetapi harus difahami tanpa PAS, tiada pembangkang kerana dominasinya berdasarkan keputusan PRU15,” katanya.