Amir Hadi bebas tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman

Amir Hadi bebas tuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman

Mahkamah Majistret membebaskan bekas setiausaha agung Muda susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 9(5) akta itu.

AMIR HARIRI ABD HADI-FEDERAL COURT-PEACEFUL ASSEMBLY ACT
Aktivis yang juga bekas setiausaha agung Muda, Amir Hadi sebelum ini didakwa gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal penganjuran satu perhimpunan berkait LCS pada 2022.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret membebaskan aktivis dan bekas setiausaha agung Muda, Amir Hadi, daripada pertuduhan gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal penganjuran satu perhimpunan pada 2022.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, peruntukan di mana Amir didakwa, telah dibatalkan Mahkamah Persekutuan bulan lalu.

Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan bahawa tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga berpendapat bahawa seksyen ini merupakan satu bentuk campur tangan yang tidak seimbang terhadap hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada arahan untuk mendakwa semula Amir yang diwakili peguam Rajsurian Pillai.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Amir berkata beliau sedang menunggu sesi libat urus kerajaan dengan NGO dan pihak berkepentingan lain mengenai cadangan pindaan Akta Perhimpunan Aman.

Pada 14 Ogos 2022, kira-kira 200 orang berhimpun menuntut menteri yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) dipecat atau dibawa ke muka pengadilan.

Amir didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman, yang mewajibkan notis awal kepada polis, dan berdepan hukuman di bawah Seksyen 9(5) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000.

Beliau kemudian memfailkan cabaran perlembagaan terhadap Seksyen 9(5) akta tersebut, dan Mahkamah Tinggi merujuk persoalan itu kepada Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.