Penyanyi dikir barat, rakan, selesai beri keterangan

Penyanyi dikir barat, rakan, selesai beri keterangan

Eda Ezrin bersama rakannya Nur Aida Mamat, 33, dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, kata polis.

Eda Ezrin
Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas sembilan bulan ditahan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis mengesahkan penyanyi dikir barat, Wan Norshaheeda Azlin Wan atau Eda Ezrin bersama rakannya Nur Aida Mamat, 33, selesai memberi keterangan di Balai Polis Rantau Panjang malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, ketika dihubungi Bernama hari ini berkata kedua-duanya telah dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Mengenai empat individu termasuk suami kepada Eda Ezrin yang masih berada di Thailand dan sedang disiasat pihak berkuasa negara itu, Hussein berkata mereka dijangka pulang ke Malaysia hari ini sekiranya pasport masing-masing diaktifkan.

Mereka ialah Mohd Affendi Ahmad, 35, Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.

Semalam, Eda Ezrin dan Nur Aida tiba di Balai Polis Rantau Panjang kira-kira 8 malam dan keluar pada 11.30 malam sebelum dibawa pulang ahli keluarga masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas sembilan bulan ditahan, kira-kira 11 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pendakwa raya negara jiran gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.

Keenam-enam individu itu ditahan pada 1 Nov lepas atas dakwaan memiliki 6,059 pil yaba. Permohonan pihak pendakwa untuk melanjutkan tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam turut ditolak mahkamah pada Rabu.

Semalam, Eda Ezrin dan Nur Aida dibawa keluar dari Sungai Golok, Narathiwat menggunakan van imigresen negara berkenaan kira-kira 7 malam selepas selesai proses dokumentasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.