Goh Hwan Hua, 4 syarikat didapati tipu pelaburan

Goh Hwan Hua, 4 syarikat didapati tipu pelaburan

Mahkamah Tinggi mengarahkan ahli perniagaan dan syarikat dikawalnya memulangkan kembali RM8 juta kepada pelabur.

allan goh hwan hua
Ahli perniagaan Goh Hwan Hua disaman beberapa pelabur pada 21 Julai 2023.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan ahli perniagaan Goh Hwan Hua dan empat syarikat bawah kawalannya bertanggungjawab melakukan penipuan serta mengarahkan mereka membayar semula wang kepada sekumpulan pelabur berjumlah RM8 juta.

Keputusan itu dibuat susulan saman yang difailkan oleh 15 individu bagi mendapatkan semula wang pelaburan mereka.

Saman tersebut menamakan Goh, i-Serve Online Mall, Bright Moon Venture PLT, Trillion Cove Holdings Bhd, dan QA Smart Partnership PL sebagai defendan.

Dalam saman yang difailkan dua tahun lalu, plaintif mendakwa syarikat terbabit pada mulanya membuat bayaran bulanan secara konsisten, tetapi gagal berbuat demikian antara November 2021 hingga Jun 2022 walaupun telah menerima surat tuntutan daripada peguam mereka.

Peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal memberitahu FMT bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Leong Wai Hong, dalam penghakimannya hari ini mendapati Goh bertanggungjawab atas penipuan tersebut.

Beliau berkata hakim turut mendapati Goh adalah dalang utama skim tersebut, dan dalam satu webinar pada 16 Nov 2022 Goh pernah menegaskan bahawa ‘semua operasi adalah sah’.

Leong turut menyatakan bahawa Goh gagal mendedahkan bahawa syarikat-syarikatnya telah dikenakan kompaun kerana menerima deposit tanpa lesen yang melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan.

Katanya, defendan turut memilih untuk tidak mencabar keterangan saksi plaintif.

Plaintif turut diwakili oleh peguam Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Matthews.

Matthews memberitahu FMT bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu disambut dengan kelegaan dan kegembiraan oleh plaintif di mana ramai antara mereka berdepan kesukaran akibat skim itu.

Katanya, keputusan itu memberi mesej jelas bahawa pihak yang terlibat dalam penipuan dan skim haram akan dipertanggungjawabkan.

“Kami percaya keputusan ini akan menjadi satu pencegahan serta peringatan tentang pentingnya menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi orang awam daripada amalan serta aktiviti haram,” katanya.

Defendan diwakili peguam Tina Ann Francis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.