
Cendekiawan Sharifah Munirah Alatas dan Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Rahim bersetuju bahawa kanak-kanak berupaya mempelajari pelbagai bahasa secara serentak.
Mereka berkata pendedahan awal kepada dua bahasa akan menggalakkan kecekapan linguistik.
Munirah menjelaskan bahawa kanak-kanak berumur sehingga tujuh tahun boleh mempelajari bahasa kedua secara semula jadi kerana mereka bersifat ingin tahu dan tidak malu untuk belajar berbanding kanak-kanak di usia lain dan golongan dewasa.

Beliau berkata tanggungjawab mewujudkan persekitaran pembelajaran bahasa yang kondusif tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak sekolah, sebaliknya ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang sama di rumah.
Beliau turut menyeru ahli politik dan pembuat dasar mempromosikan idea itu secara aktif, khususnya dalam kalangan isi rumah bandar, bagi membantu menjadikan dwibahasa sebagai komunikasi normal.
“Malangnya, dalam konteks di Malaysia, setiap kali isu bahasa di sekolah — sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu — dibangkitkan di media, peranan ibu bapa sering dipandang remeh,” katanya.
Azimah bersetuju, sambil menambah bahawa pendedahan dwibahasa sejak awal disokong oleh penyelidikan saintifik, dengan puluhan tahun kajian menolak dakwaan bahawa dwibahasa mengelirukan kanak-kanak atau melambatkan perkembangan pertuturan.

Beliau berkata kelewatan dalam memperkenalkan pengajaran bahasa Inggeris sehingga kanak-kanak meningkat usia akan menjadikan proses penguasaan bahasa itu lebih sukar.
Menurut Azimah, pelajar yang belajar lewat cenderung berfikir dalam bahasa ibunda dan kemudian menterjemah ke bahasa Inggeris, menyebabkan pertuturan mereka menjadi perlahan dan kurang lancar.
Pelajar sebegini juga berisiko menghadapi kesukaran di universiti apabila berhadapan dengan buku teks, jurnal dan sumber dalam talian berbahasa Inggeris, tambahnya.
“Kanak-kanak yang mempelajari dua bahasa sejak kecil lazimnya membina dua ‘sistem bahasa’ yang berasingan dan mampu berfikir secara langsung dalam mana-mana bahasa,” kata Azimah.
“(Pelajar lewat belajar) terlepas manfaat neurologi ketika di usia kanak-kanak awal dan berisiko ketinggalan dalam akademik, ketinggalan berbanding rakan sebaya lain serta membentuk tanggapan negatif terhadap bahasa tersebut.”
Azimah berkata tiga tahun pertama kehidupan seorang kanak-kanak merupakan tempoh penting untuk mempelajari bahasa.
Dalam keluarga yang ibu bapanya menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris, kanak-kanak biasanya mempelajari kedua-duanya secara semula jadi tanpa pengajaran formal.
Azimah berkata usia antara tiga hingga tujuh tahun sering dianggap masa paling sesuai untuk memulakan pembelajaran bahasa secara formal.
Pada usia tersebut, otak kanak-kanak masih sangat fleksibel, membolehkan mereka memahami sebutan dan pola tatabahasa secara semula jadi, katanya.
Kanak-kanak masih mampu mempelajari bahasa walaupun semakin meningkat usia, kata Azimah dan boleh mengikuti pembelajaran terancang dalam bahasa kedua jika mereka sudah menguasai kemahiran berfikir dan menguasai bahasa pertama.
Namun, apabila mencapai usia lapan tahun, mereka mula lebih peka terhadap pandangan sosial dan berasa malu jika melakukan kesilapan di hadapan rakan sebaya, katanya, sambil menambah bahawa ia boleh menyebabkan mereka enggan bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Matlamat memperkenalkan bahasa Inggeris sejak awal adalah untuk membina asas yang kukuh — perbendaharaan kata asas, kepekaan terhadap bunyi, dan sikap positif — supaya apabila tuntutan akademik meningkat, kanak-kanak tidak bermula dari kosong.
“Mereka sebenarnya sedang membina di atas asas yang sedia ada, menjadikan keseluruhan proses pembelajaran lebih lancar, kurang tekanan dan lebih berjaya.”