
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan, antaranya di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).
“Jumlah jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) ditingkatkan kepada RM30 bilion daripada RM20 bilion sebelum ini.
“Selain menjamin syarikat sektor bernilai tinggi, skop SJPP turut diperluas bagi menjamin usahawan mikro,” katanya yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025.
Tambahnya, peruntukan sebanyak RM50 juta bakal disalurkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai dana pembiayaan untuk menyokong perusahaan badan-badan koperasi seluruh negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dana Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beralih kepada sokongan berasaskan jaminan dengan tumpuan kepada segmen yang kurang mendapat akses pembiayaan serta aktiviti berimpak tinggi seperti pendigitalan, automasi, inovasi dan peralihan hijau.
Menurutnya, langkah itu bagi meluaskan capaian bagi usaha menyokong keperluan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).