
Hakim Nor Hayati Mat juga memerintahkan kerajaan membayar faedah 5% setahun kepada balu S Thanabalan iaitu V Santhi, dan bapa mentua, P Vathian – pentadbir harta pusaka si mati – bermula dari tarikh beliau ditemui meninggal dunia pada 17 April 2018, sehingga jumlah penuh dibayar.
Penghakiman disampaikan secara dalam talian petang tadi, menyusuli pendengaran penilaian ganti rugi bulan lalu.
Jumlah merangkumi RM500,000 ganti rugi am bagi kecuaian; RM200,000 ganti rugi teruk, termasuk bagi kesakitan dan penderitaan; RM414,000 bagi tuntutan berkaitan tanggungan; RM30,000 bagi kedukaan; dan RM10,000 ganti rugi khas bagi perbelanjaan pengebumian.
Nor Hayati juga memberikan RM7,000 kepada Santhi dan Vathian sebagai kos guaman.
M Visvanathan, V Sanjay Nathan, dan V Pushan Qin Nathan mewakili Santhi dan Vathian selaku peguam, manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim dan Amin Azizan bertindak bagi pihak kerajaan.
Pihak-pihak terlibat kembali ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi selepas Mahkamah Persekutuan tahun lalu menolak permohonan kerajaan untuk kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, yang memutuskan polis cuai dalam kematian Thanabalan.
Pada 30 Okt 2023, sidang tiga hakim dipengerusikan Lee Swee Seng memutuskan bahawa pihak plaintif mengemukakan bukti yang mencukupi untuk membuktikan kecuaian.
Lee, yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, berkata ganti rugi teruk wajar diberikan kerana Thanabalan dinafikan akses rawatan perubatan tepat pada masa, dan ditahan dalam sel lokap yang sempit tanpa akses kepada air bersih.
Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Thanabalan adalah leptospirosis, yang biasanya dikaitkan dengan pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan bakteria leptospira, yang ditemui dalam air kencing tikus.
Pada 21 Dis 2020, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan kecuaian polis menyumbang kepada kematian Thanabalan. Beliau menyatakan pemeriksaan forensik mengesahkan si mati mempunyai ‘myocardial bridging’, sejenis keadaan jantung yang biasanya tidak menyebabkan kematian, dan menyatakan tahanan itu berkemungkinan meninggal dunia sama ada di ibu pejabat polis Shah Alam atau semasa dalam perjalanan ke hospital.