Polis terus komited bantu kesan anak Indira, kata KPN

Polis terus komited bantu kesan anak Indira, kata KPN

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya juga sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah dalam melaksanakan usaha itu.

Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis mengalu-alukan sebarang maklumat awam bagi membantu proses pengesanan anak M Indira Gandhi yang hilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Khalid Ismail menegaskan komitmen berterusan pihaknya bagi mengesan anak M Indira Gandhi yang hilang, mengikut peruntukan undang-undang dan arahan mahkamah.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan Indira bersama dua orang anaknya, diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran. dan aktivis Arun Dorasamy di Bukit Aman petang semalam.

Menerusi pertemuan itu, Khalid berkata pihaknya diminta memberikan sokongan berterusan selain mereka menyuarakan harapan agar usaha berkenaan dapat dipergiatkan.

“Kita menegaskan akan kekal komited, sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah, termasuk melaksanakan usaha bererusan bagi mengesan anak Indira mengikut lunas undang-undang.

“Polis mengalu-alukan sebarang maklumat awam bagi membantu proses pengesanan. Segala maklumat yang diterima akan diteliti secara profesional dan diambil tindakan mengikut prosedur siasatan yang berkuat kuasa.

“Kita akan terus memberikan kerjasama penuh demi memastikan setiap tindakan berkaitan dilaksanakan dengan berintegriti, profesional dan selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Pada 22 Nov, Indira bersama lebih 100 individu berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Bukit Aman bagi mendesak polis mengesan anak perempuan Indira sebelum menunggu di luar Bukit Aman hampir tiga jam.

Antara yang hadir pada perhimpunan itu termasuk Kulasegaran, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan aktivis sosial Marina Mahathir.

Indira ketika itu berkata, beliau tidak akan berhenti berjuang untuk mendapatkan kembali anaknya, Prasana Diksa, yang didakwa dilarikan oleh bekas suaminya, Riduan Abdullah, 16 tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.