Mahkamah putus elaun jawatankuasa perlu kelulusan CoB

Mahkamah putus elaun jawatankuasa perlu kelulusan CoB

Mahkamah Rayuan turut menegaskan kekosongan jawatan kerana peletakan jawatan tidak boleh diisi melalui lantikan.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 60 Akta Pengurusan Strata dibaca bersama Seksyen 50(3)(l) menetapkan Pesuruhjaya Bangunan mesti meluluskan elaun mesyuarat yang dibayar kepada ahli jawatankuasa.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan badan pengurusan Sentral Residences (SRMC) terhadap empat bekas ahli jawatankuasa yang menerima elaun kehadiran mesyuarat tanpa kelulusan awal.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Lim Chong Fong memutuskan Mahkamah Tinggi tersilap apabila mengesahkan pembayaran elaun itu kepada empat individu berkenaan.

Menurutnya, hakim Mahkamah Tinggi salah apabila menyimpulkan tiada peruntukan dalam Akta Pengurusan Strata (SMA) yang memerlukan kelulusan Pesuruhjaya Bangunan (CoB) bagi kadar elaun terbabit.

“Dana dalam akaun penyelenggaraan adalah wang amanah dan ahli jawatankuasa bertindak sebagai pemegang amanah,” kata Lim.

Beliau berkata Seksyen 60 SMA yang mengawal selia akaun penyelenggaraan SRMC perlu dibaca bersama Seksyen 50(3)(l), yang dengan jelas menyatakan elaun atau bayaran kepada ahli jawatankuasa bagi menghadiri mesyuarat mesti mendapat kelulusan CoB.

Turut bersidang Hakim Ong Chee Kwan dan Hakim Mahkamah Tinggi (yang dipinjamkan) Latifah Tahar.

Mahkamah turut memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Mahkamah Tinggi tahun lalu membatalkan keputusan Tribunal Pengurusan Strata selepas empat responden itu memohon semakan kehakiman.

Kes ini bermula pada Disember 2022 apabila SRMC di Kuala Lumpur memfailkan tuntutan terhadap lapan bekas ahli jawatankuasa, termasuk empat responden tersebut, bagi menuntut semula elaun kehadiran mesyuarat yang telah dibayar.

Jumlah elaun berkenaan antara RM1,500 hingga RM4,200 setiap seorang yang keseluruhannya berjumlah RM27,300.

SRMC turut meminta tribunal mengesahkan pelantikan responden pertama, Hong Swee Lan, sebagai ahli jawatankuasa tidak mengikut peruntukan SMA.

Tribunal kemudian mengarahkan elaun itu dipulangkan dalam tempoh 60 hari dan memutuskan pelantikan Hong adalah tidak sah. Hanya seorang daripada lapan responden gagal mematuhi arahan itu.

Empat responden yang tidak berpuas hati memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Rayuan, mereka berhujah rayuan SRMC tidak relevan kerana mereka telah membuat bayaran balik. Namun panel hakim menolak hujah itu.

Berhubung kesahihan pelantikan Hong, Lim berkata Mahkamah Tinggi tersalah tafsir Jadual Kedua SMA — khususnya perenggan 3(5) — kerana tidak mengambil kira perenggan 3(1) yang dengan jelas menetapkan bahawa kekosongan jawatan akibat peletakan jawatan ahli jawatankuasa tidak boleh diganti melalui lantikan.

SRMC diwakili peguam Lim Kien Huat dan Bryan Ching manakala responden diwakili K Rajasegaran dan Kalvinder Singh Bath.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.