
Majlis yang berlangsung di premis HACKS Malaysia Sdn. Bhd., Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Kumpulan Barkath, Barkath Ali Abu Backer bersama barisan kepimpinan tertinggi syarikat.
Sempena sambutan ini, baginda berdua turut berkenan melakukan lawatan ke beberapa fasiliti utama syarikat, termasuk bahagian operasi kilang, gudang penyimpanan, serta galeri anugerah kumpulan Barkath yang menampilkan sejarah kecemerlangan, pencapaian dan legasi lebih lapan dekad syarikat tersebut.
“Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyempurnakan simbolik sambutan ulang tahun ke-85 Kumpulan Barkath, sebagai manifestasi komitmen syarikat untuk terus maju, memperkukuh inovasi dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju produk makanan berkualiti di Malaysia.
“Sambutan ulang tahun ini bukan sekadar meraikan perjalanan panjang Kumpulan Barkath dalam industri, tetapi turut menjadi inspirasi kepada generasi pewaris untuk mempertahankan mutu, inovasi dan legasi perniagaan keluarga yang menjadi kebanggaan negeri Pulau Pinang dan negara,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Kumpulan Barkath merupakan pengeluar gula-gula HACKS, antara produk yang begitu sinonim dan digemari rakyat Malaysia.
Kumpulan Barkath juga mengeluarkan produk minuman Sunquick melalui kerjasama strategik dengan Denmark.
Selain itu, pelbagai produk lain turut dihasilkan bersama syarikat tempatan iaitu Barkath Foods Sdn. Bhd. dan Class Foods Sdn. Bhd.