
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata pemberhentian keahlian tiga Adun Perlis oleh PAS yang diumumkan Presiden Hadi Awang malam tadi memberi gambaran wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyatnya.
Pemberhentian keahlian merujuk kepada Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keputusan itu dipercayai susulan tindakan mereka dikatakan menyerahkan akuan berkanun (SD) bersama lima Adun Bersatu kepada Raja Perlis Jumaat lalu, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Shukri Ramli yang juga Adun Sanglang daripada PAS.
Mazlan, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata pengumuman itu menunjukkan ada sesuatu belum ‘beres’ di Perlis, selain tindakan tiga Adun berkenaan tidak direstui serta dianggap membelakangkan PAS Pusat.
“Apa yang kita baca di sini apabila tiga Adun PAS bersama lima Adun Bersatu mengemukakan SD seperti dilaporkan media, ada kemungkinan satu pakatan menyingkirkan menteri besar.
“Tindakan melucut keahlian menunjukkan PAS tidak setuju, jadi ada kemungkinan hubungan antara PAS-Bersatu akan ada masalah,” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata, perkembangan spekulasi kedudukan Shukri itu menunjukkan seolah-olah tiada penyelarasan atau persetujuan jelas antara PAS-Bersatu, sebaliknya mendedahkan percanggahan.
“Adakah ini akan melarat ke pusat (PN)? Jika tidak ditangani antara PAS-Bersatu mungkin akan timbul masalah.
“Sebelum ini pun telah nampak percanggahan antara keduanya, pertama berkait soal ‘poster boy’ PN diikuti dakwaan Bersatu bantu PAS yang dinafikan Sanusi Nor (ketua pengarah pilihan raya PAS).
“Di Sabah pula walaupun Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengatakan mereka kekal pembangkang, tetapi PAS memutuskan menyokong kerajaan Hajiji Noor, sekarang ini di Perlis pula,” katanya.
Persoalan kedudukan Shukri mula tercetus apabila Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu menyokong kepimpinan menteri besar Jumaat lalu, tanpa memberi sebarang konteks.
Isnin lalu, FMT melaporkan lapan Adun PN telah menyerahkan SD kepada Raja Perlis untuk memaklumkan mereka tidak lagi menyokong Shukri.
PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis dan tanpa sokongan lapan wakil rakyat itu, Shukri bakal kehilangan majoriti mudah untuk kekal menteri besar.
Seorang lagi penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata perkembangan politik PN di Perlis itu akan membuka kemelut baharu, bukan jalan keluar terutama dari segi kelancaran pentadbiran.
“Sesiapa sahaja menjadi menteri besar selepas ini akan susah mentadbir kerana terlalu berserabut dan sedikit perbezaan kekuatannya,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ia memberi kesan kepada PN dalam usaha menawan Putrajaya.
“Bagaimana untuk mereka mentadbir negara kalau dalam suasana sebegini, bukankah huru-hara dan menyebabkan pelabur-pelabur lari kerana tiada kestabilan.
“Jadi, ini sesuatu perlu diterjemahkan oleh rakyat sama ada boleh menerima PN dengan mainan sebegini,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu.
Menurut Ahmad Zaharuddin, ada beberapa tindakan untuk menyelesaikan isu itu termasuk mengabsahkan sokongan Shukri.
“Bincang dahulu kerana sekarang ini dilihat banyak isu membabitkan menteri besar yang diliihat tidak jelas,” katanya.