
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata China Coast Guard 5304 dikesan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Susulan itu, pemantauan diteruskan oleh tentera laut, menerusi Op Satria.
“Kapal dikesan berapung 1.8 batu nautika selatan Terumbun Lang Ngindang. Kapal kini memasuki hari ke-22 sejak pengesanan.”
“Pemantauan unsur China ini dilaksanakan oleh KD Kelantan,” menurut kenyataan.
Khaled berkata pergerakan semasa kapal CCG terus dipantau dan maklumat tersebut akan disalurkan kepada Wisma Putra untuk tindakan diplomatik.
“Kementerian Pertahanan akan memaklumkan perkara tersebut kepada Wisma Putra supaya satu nota bantahan dapat disampaikan kepada pihak China.”
Khaled menjelaskan Op Satria merupakan operasi untuk keselamatan dan menegakkan kedaulatan negara, yang dilaksanakan sepanjang masa dan setiap hari, di kawasan tersebut.
“Kehadiran kapal-kapal CCG di kawasan operasi Satria, yang merangkumi Beting Raja Jarom dan Beting Hempasan Bantin, telah menjadi perkara biasa sejak akhir tahun 2013,” katanya.
Khaled menegaskan bahawa sebarang pencerobohan, terutama di kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih, tertakluk kepada peraturan penglibatan, yang perlu dipatuhi bagi memastikan keadaan tidak menjadi tegang atau tidak terkawal.