
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris berkata kerjasama dengan Umno bukan sesuatu yang mustahil memandangkan kedua-dua parti pernah bekerjasama sebelum ini di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.
Razali, yang juga ahli exco Terengganu berkata jika kedua-dua pemimpin utama itu bertemu dan bersetuju untuk bekerjasama, ahli akar umbi Umno dan Bersatu akan mengikut keputusan itu.
“Muhyiddin secara terbuka memberi laluan kepada Umno untuk memegang jawatan perdana menteri pada 2021, dan kita pernah berada dalam satu kerajaan ketika itu. Jadi, tidak mustahil Bersatu dan Umno boleh bekerjasama semula.
“Jika keputusan dibuat pimpinan tertinggi kami di bawah akan ikut. Bagi saya, perkara paling penting ialah menyatukan orang Melayu-Islam.
“Sebab itu saya cadangkan ia dimulakan dari atas. Lebih baik Muhyiddin dan Zahid duduk semeja dan mencari formula untuk bekerjasama menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.
Ismail menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri pada Ogos 2021. Muhyiddin meletakkan jawatan selepas beberapa Ahli Parlimen Umno termasuk Zahid, menarik balik sokongan terhadapnya.
Razali berkata perbincangan baharu itu tidak sepatutnya berkisar mengenai Muafakat Nasional, piagam kerjasama Umno dan PAS yang kini sudah terbubar atau cadangan supaya Bersatu dibubarkan dan ahlinya diserap ke dalam Umno.
Beliau menegaskan ada ahli Bersatu di peringkat akar umbi yang mahu parti itu bekerjasama dengan Umno.
“Namun, kami mahu Zahid dan Muhyiddin bertemu dan berbincang terlebih dahulu. Kami tidak mahu perbincangan bermula dari bawah. Ia mesti bermula dari atas,” katanya.
Zahid semalam tidak menolak kemungkinan Umno bekerjasama dengan Bersatu. Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sebarang keputusan bergantung kepada perkembangan terkini melibatkan Bersatu.
Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan bahawa akar umbi Umno menyokong keputusan kepimpinan tertinggi parti untuk kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga PRU16.
Zahid sebelum ini berulang kali menyatakan BN dan Pakatan Harapan akan bekerjasama menghadapi PRU16, namun kebelakangan ini beliau dilihat lebih berhati-hati susulan ketegangan yang meningkat, khususnya dengan DAP.