MB Perlis cadang 3 bekas Adun PAS dikekalkan, walaupun berstatus Bebas

MB Perlis cadang 3 bekas Adun PAS dikekalkan, walaupun berstatus Bebas

Penyelesaian 'menang-menang' mampu pulih kestabilan, pastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat, kata Abu Bakar Hamzah.

Abu Bakar Hamzah
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata, ketiga-tiga bekas Adun PAS itu masih pegang mandat jaga kebajikan pengundi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah mencadangkan agar tiga bekas Adun PAS yang digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka, iaitu Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping), masih memegang mandat untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.

“Kerajaan negeri berharap satu penyelesaian terbaik dapat dicapai bagi memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya pendekatan ‘menang-menang’ ini diambil, kemelut tersebut boleh diselesaikan oleh Speaker DUN Rus’sele Eizan.

Ketiga-tiga Adun itu kemudiannya boleh menarik balik saman yang difailkan terhadap Speaker, tambahnya.

Terdahulu, tiga bekas Adun PAS itu memfailkan semakan kehakiman terhadap Rus’sele di Mahkamah Tinggi Kangar selepas kerusi mereka diisytiharkan kosong.

Kerusi-kerusi tersebut diisytiharkan kosong susulan tindakan PAS menamatkan keahlian mereka selepas mereka didakwa menarik balik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Abu Bakar, yang juga ketua Bersatu negeri menegaskan, ketidaktentuan semasa menjejaskan penduduk di tiga kawasan tersebut, terutamanya dalam urusan mendapatkan bantuan dan perkhidmatan kebajikan.

“Sekiranya cadangan penyelesaian itu tidak dapat dilaksanakan, saya akan menubuhkan Pusat Khidmat Menteri Besar di tiga DUN berkenaan termasuk Indera Kayangan, menjadikan keseluruhan empat pusat khidmat.

“Penubuhan pusat khidmat bertujuan membantu rakyat dari segi penyaluran bantuan dan urusan kebajikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.