
Menurutnya, kejayaan itu hasil pengoperasian 24 jam Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), yang sebelum ini beroperasi pada waktu pejabat, selain pertambahan kakitangan.
“Wang yang kita selamatkan ini menggunakan Subseksyen 424A, B dan C Kanun Keseksaan dan wang ini dia tak berpindah secara berlapis.
“Secara keseluruhan, mengikut data yang kita kumpul daripada aduan mangsa, kita merekodkan RM542 juta kerugian daripada aktiviti scam ini sepanjang tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berhubung jumlah individu didakwa dan disabitkan bawah Kanun Keseksaan Subseksyen 424A hingga 424D yang baharu bagi memerangi akaun keldai terbabit penipuan dan bilangan mangsa berjaya mendapatkan wang mereka semula.
Bagi Subseksyen 424A, Saifuddin berkata, 51 kes dilaporkan setakat ini, dengan 20 kes telah dituduh di mahkamah dan tiga diklasifikasikan tiada tindakan lanjut.
“Di bawah 424B ada satu, statusnya masih disiasat, 424C ada 10, semuanya masih status dalam siasatan, 424D tiada laporan dan tiada kes disiasat.”
Jelasnya, berdasarkan profil kes penipuan yang direkodkan kementerian itu, pekerja swasta, kakitangan awam, pesara, pelajar dan ahli perniagaan paling ramai menjadi mangsa penipuan membabitkan jenayah kewangan dalam kategori love scam, e-dagang, jenayah telekomunikasi, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.
Katanya, kerajaan menerusi kementerian berkaitan juga sentiasa bekerjasama dan mengadakan sesi libat urus dengan rakan negara Asean dalam mencari kaedah terbaik menangani kes penipuan.