
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Mohd Zarif Hashim, berkata kemudahan e-gate itu komponen teras model ICQ yang membolehkan penumpang melengkapkan pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura di kemudahan sama.
Beliau berkata, sistem berkapasiti tinggi itu direka bagi mempermudahkan pergerakan penumpang serta mengurangkan kesesakan, khasnya semasa waktu puncak perjalanan.
“Selain 100 laluan e-gate, Kompleks ICQ Bukit Chagar juga akan dilengkapi 10 laluan pemeriksaan badan, 18 pengimbas bagasi serta laluan khusus untuk penumpang tidak membawa bagasi bagi meminimumkan kesesakan dan memastikan aliran penumpang yang lancar,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, pelaksanaan e-gate itu mendapat kerjasama rapat pihak berkuasa imigresen Malaysia dan Singapura, termasuk pelepasan pasport menggunakan kod QR, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual.
Selain menjimatkan masa, beliau berkata, kelebihan utama sistem itu dari segi kebolehpercayaan dan keberkesanan, sekali gus membantu perancangan perjalanan pengguna dengan lebih teratur.
Katanya, peringkat awal operasi RTS Link diunjurkan membawa 40,000 penumpang sehari dan dijangka meningkat kepada kira-kira 140,000 penumpang sehari yang bakal menyumbang 30% hingga 40% pergerakan di Tambak Johor apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya.
Kemudahan itu antara ciri utama menyokong objektif RTS Link beroperasi sebagai pintu masuk antarabangsa bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai mod perjalanan rentas sempadan dipercayai dan menjadi pilihan, selepas pembinaan siap 31 Dis ini.
Jelasnya, MRT Corp turut menubuhkan pusat maklumat projek di pejabat RTS Link, yang menampilkan kiosk interaktif mempamerkan maklumat utama projek serta lawatan maya jajaran RTS bagi membantu pengunjung memahami bagaimana sistem itu berfungsi secara bersepadu.
“Dalam menyediakan rangka kerja untuk pengalaman pelanggan, MRT Corp mengambil iktibar daripada pintu masuk sedia ada seperti KLIA serta penanda aras pendekatan berdasarkan piawaian antarabangsa, termasuk Lapangan Terbang Changi.”