Ahli Parlimen gesa semakan selepas pasport lelaki disekat akibat kesilapan imigresen

Ahli Parlimen gesa semakan selepas pasport lelaki disekat akibat kesilapan imigresen

William Leong berkata kes itu menunjukkan berlaku 'kesilapan sistemik' yang menyebabkan ketidakadilan, manakala Khoo Poay Tiong menggesa individu disekat dimaklumkan secara bertulis.

William Leong and Khoo Poay Tiong-
Ahli Parlimen William Leong dan Khoo Poay Tiong berkata Jabatan Imigresen perlu melakukan semakan berkala selepas kesilapan teknikal menyebabkan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport selama beberapa tahun.
PETALING JAYA:
Dua ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia menggesa semakan berkala terhadap larangan kemasukan ke Sabah dan Sarawak, selepas seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasportnya selama bertahun-tahun akibat kesilapan pentadbiran.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong daripada Pakatan Harapan, selepas Jabatan Imigresen pada bulan lalu mengakui cawangannya di Sarawak tersilap menghalang penulis teknikal, Hafiz Hamid daripada melakukan perjalanan pada 2018.

Jabatan Imigresen berkata, pegawainya tersilap memasukkan kod sekatan notis amaran persekutuan yang menghalang pembaharuan pasport dan perjalanan ke luar negara, berbanding kod hanya terpakai di Sarawak.

Kesilapan itu menyebabkan Hafiz, 42, tidak dapat memperbaharui pasportnya selepas tamat tempoh pada 2020 dan melakukan perjalanan.

Leong yang mengetuai jawatankuasa Parlimen itu berkata, kesilapan berkenaan tidak boleh dipersalahkan atas seorang pegawai saja, sebaliknya pegawai atasan, termasuk individu mengendalikan rayuan, sepatutnya mengesan kesilapan itu lebih awal.

“Ini kelihatan seperti kesilapan sistemik,” katanya sambil menambah ia mengakibatkan ketidakadilan kepada Hafiz.

Leong mencadangkan Hafiz diberikan beberapa bentuk pampasan.

Beliau turut menggesa Jabatan Imigresen menyemak semula operasinya bagi mengelakkan kesilapan sama pada masa depan.

Jabatan itu berkata, sekatan persekutuan telah ditarik balik dan Hafiz boleh memperbaharui pasportnya di mana-mana pejabat imigresen, tetapi sekatan ke Sarawak masih aktif.

Khoo yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa sama berkata, Jabatan Imigresen tidak boleh membenarkan sekatan sedemikian kekal selama-lamanya tanpa semakan dan mencadangkan semakan setiap suku tahun untuk mengelakkan kes sama berulang.

Beliau turut menggesa had masa ditetapkan bagi larangan kemasukan supaya ia tidak menjadi sekatan perjalanan kekal.

Katanya, individu dikenakan sekatan sedemikian perlu dimaklumkan secara bertulis dan menekankan keperluan untuk proses rayuan jelas serta ketelusan lebih tinggi berhubung sebab individu dihalang memasuki Sabah atau Sarawak.

Khoo turut mempersoalkan kelewatan dalam menyelesaikan kes Hafiz, yang hanya selesai selepas beliau mendapatkan khidmat guaman.

Beliau menyarankan audit lebih menyeluruh ke atas sistem Jabatan Imigresen bagi memastikan tiada individu lain berdepan masalah sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.