
Timbalan Presiden S Subramaniam berkata dakwaan ‘sikap MIPP macam DAP’ kerana menentang kemahuan PAS untuk menjadi pengerusi PN adalah tidak berasas dan tidak tepat kerana pendirian parti berlandaskan realiti politik.
“Calon pengerusi PN mestilah yang boleh diterima semua kaum, agama dan semua lapisan rakyat termasuk Sabah dan Sarawak. Kita perlukan wajah yang boleh menyatukan sokongan seluruh rakyat, bukan satu kaum dan agama sahaja. Ini soal memimpin negara, bukan parti,” katanya kepada FMT.
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, pada Ahad menulis tentang pertemuan di kediaman presiden Bersatu itu pada 16 Jan, mengatakan PAS mahukan jawatan pengerusi tetapi ditentang oleh Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Menurutnya, Gerakan dan MIPP bersetuju Muhyiddin mengetuai majlis presiden PN, kerana beliau boleh mengimbangi “imej Islam PAS yang lebih bersifat ‘hardline’”.
Penganalisis bagaimanapun melihat persamaan antara DAP dengan pihak-pihak yang menggunakan imej ‘hardline’ sebagai alasan untuk tidak memberi peluang kepada PAS menerajui PN.
“Kita perlu cari calon sesuai. Sekiranya tidak kita kekalkan Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu) dan pinda perlembagaan bagi mewujudkan majlis presiden dan majlis eksekutif,” kata Subramaniam.
Mengulas penolakan pengundi bukan Melayu terhadap PN, Subramaniam berkata ia banyak dipengaruhi oleh naratif, persepsi negatif dan fitnah politik yang dimainkan oleh parti lawan, khususnya Pakatan Harapan, dan bukan semata-mata berpunca daripada dasar atau sikap PN, atau sebab PAS.
“Naratif ini sering menggambarkan PN sebagai ekstrem dan tidak inklusif, walaupun hakikatnya tidak sebegitu,” katanya.
Dalam pada itu, Subramaniam berkata MIPP dan PAS sentiasa berusaha mencari pendekatan terbaik untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
“Perbincangan dengan PAS sentiasa berjalan, Kita tidak menutup pintu perbincangan. Soal tolak PAS tidak wujud. Untuk mara ke hadapan kita perlukan pendekatan ini walaupun berbeza,” katanya.
Sebelum ini, dalam sepucuk surat bocor, Muhyiddin menyatakan bahawa Bersatu dan PAS bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan itu, seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat pada 16 Jan.
Beliau menambah bahawa majlis presiden, yang diterajui Bersatu, akan menjadi badan pembuat keputusan tertinggi PN, manakala majlis eksekutif yang dipimpin PAS akan menguruskan hal pentadbiran.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan Muhyiddin dengan mengatakan isu pemansuhan jawatan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.