
Sebagai bapa kepada anak autistik, beliau memahami sepenuhnya keletihan, pengorbanan dan kebimbangan yang dipendam ramai ibu bapa lain.

“Ini yang paling saya risau. Ada yang sudah berumur 35 hingga 40 tahun ke atas dan ibu bapa sudah tiada,” kata penaung Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) ini, perlahan, menggambarkan realiti yang semakin menghampiri ramai keluarga.
Kebimbangan itu bukanlah perkara baharu, malah benih idea mewujudkan sebuah perkampungan khas bagi individu autisme bercambah sejak 20 tahun lalu. Ia bermula daripada sekumpulan ibu bapa yang runsing memikirkan nasib anak-anak apabila mereka sudah tidak lagi berdaya.
Sebagai langkah awal, sebuah projek rintis diusahakan melalui penubuhan cawangan Nasom Bandar Puteri Klang pada 2006 hasil sumbangan bangunan dan dana daripada ibu bapa, orang awam, serta badan korporat. Bagaimanapun, keterbatasan ruang serta perkhidmatan mencetuskan keperluan untuk sebuah penyelesaian yang tuntas.
Aspirasi tersebut kini sedang diterjemahkan ke dalam pelan ‘Smart Autism Village (SAVe)’. Projek yang dicadangkan di atas tanah milik Yayasan Selangor seluas 43 ekar di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Baru ini dirangka sebagai ekosistem lengkap dan inklusif bagi memenuhi harapan yang sekian lama dipendam oleh komuniti autisme.

“SAVe lahir daripada realiti ini. Ia dirancang sebagai satu alternatif sokongan jangka panjang yang bukan sekadar pusat jagaan, tetapi sebuah komuniti yang menyediakan persekitaran selamat, terancang dan menyerupai suasana rumah,” jelas beliau mengenai konsep perkampungan tersebut.
Apa yang membezakan SAVe dengan konsep sedia ada di dalam mahupun luar negara adalah pendekatannya yang holistik. Jika di luar negara, konsep ‘autism-friendly town’ lebih tertumpu pada penyesuaian ruang awam, SAVe pula dirancang sebagai komuniti yang dibentuk khusus berdasarkan acuan dan keperluan keluarga autistik di Malaysia.
Apabila direalisasikan kelak, ia akan menjadi mercu tanda pertama di negara ini yang menggabungkan elemen kediaman, pendidikan berterusan, latihan kemahiran pekerjaan dan sokongan sosial di bawah satu bumbung.
“Melalui program kehidupan harian, latihan kemahiran dan sokongan sosial yang tersusun, individu autistik dapat meneruskan kehidupan dengan lebih berdikari dan bermaruah walaupun tanpa pergantungan sepenuhnya kepada ibu bapa,” tambahnya.
Menurut beliau, SAVe dirancang bersandarkan pada data hasil kolaborasi bersama National Autism Resource Centre (NARC) UiTM. Kaji selidik yang dijalankan sejak Julai 2021 menunjukkan hampir 90 peratus responden dalam kalangan ibu bapa menyokong penuh idea ini dan menyifatkannya sebagai ‘talian hayat’ untuk masa depan anak-anak.
Kertas kerja memperincikan pelan seni bina, model kelestarian, dan modul penjagaan kini sedang dimuktamadkan untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan serta agensi berkaitan, bagi memastikan tanah di Kem Bina Semangat itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui sinergi antara NGO, sektor korporat, dan pihak berkuasa negeri.
Dalam nada penuh harapan, Megat Ahmad Shahrani menyasarkan projek ini dapat dimulakan pada penghujung 2026. Nasom kini membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana pihak atau syarikat korporat yang mahu menyumbang agar satu hari nanti, setiap ibu bapa kepada anak autisme boleh menutup mata dengan tenang kerana tahu bahawa anak mereka selamat bersama komuniti yang memahami dan menghargai mereka.
Ramai tak faham keperluan individu autistik
Dalam pada itu, Megat Ahmad Shahrani berkata tahap kesedaran rakyat tentang autisme kini jauh lebih baik berbanding tiga dekad lalu, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan golongan ini menjadi mangsa stigma atau risiko penderaan.

“Kesedaran masyarakat semakin meningkat, tapi masih banyak yang tahu nama tanpa faham keperluan sebenar individu autistik, terutama yang ‘non-verbal’ (komunikasi tanpa lisan), ‘sensory’ (deria), dan tingkah laku,” jelas beliau.
Antara salah faham terbesar yang masih menebal adalah tanggapan bahawa anak autistik merupakan kanak-kanak manja, degil, atau kurang ajar, malah salah didikan, memandangkan mereka kelihatan normal.
“Saya cadangkan individu autistik mempunyai identiti seperti gelang khas supaya masyarakat tahu, sekali gus dapat mengurang risiko negatif,” tambahnya.
Beliau berkata sistem pendidikan bagi golongan autisme perlu dipertingkatkan dengan penyediaan pakar dan guru terlatih yang mencukupi, menegaskan usaha tersebut memerlukan sokongan menyeluruh daripada kerajaan dan pihak swasta kerana pusat penjagaan memerlukan dana besar untuk menampung kos operasi.
“Ramai yang berbakat dalam seni, muzik dan akademik hingga ke peringkat tinggi. Kenal pasti kelebihan mereka dan beri peluang,” katanya, yang menyokong aspirasi mewujudkan pusat pembangunan bagi individu autistik di setiap daerah.