
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata agensi itu meneruskan siasatan oleh polis terhadap kes terbabit susulan penularan menerusi platform Threads yang
dimuat naik menggunakan nama akaun “ryandaselva”,
Menurutnya, kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.
“SKMM telah mengambil keterangan individu berkenaan di IPD Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
SKMM turut mengingatkan orang ramai menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.
Semalam, polis menahan pelajar berusia 21 tahun dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selepas bapanya dilaporkan menyerahkan anaknya kepada pihak polis.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.