
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, kementerian memandang serius pengumuman yang dibuat Mita semalam bersama tiga persatuan dan badan lain.
“Sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan dalam penetapan harga, termasuk tambang minimum atau siling, adalah dilarang kerana mengandungi elemen kartel yang boleh menjejaskan pasaran pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan.
Armizan berkata, walaupun kerajaan memahami kenaikan harga diesel memberi implikasi kepada kos operasi industri, semua pihak perlu memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi kerangka perundangan sedia ada.
Semalam, Mita mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran, berkuat kuasa serta-merta, bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.
Menerusi kenyataan, Mita memaklumkan langkah ini diambil ekoran bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.
Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.
Kadar baharu ini akan berkuat kuasa sehingga esok, namun Mita tidak menyatakan sama ada kadar tersebut akan diteruskan selepas itu.
Harga diesel telah meningkat sebanyak RM2.40 kepada sekitar RM5.52 seliter sepanjang tiga minggu lalu berikutan kekangan bekalan tenaga yang dikaitkan dengan konflik di Timur Tengah.