Penganalisis ramal usaha kurangkan ketirisan, pembaziran dipergiat untuk tanggung subsidi

Penganalisis ramal usaha kurangkan ketirisan, pembaziran dipergiat untuk tanggung subsidi

Pembanterasan rasuah dan penguatkuasaan undang-undang juga akan lebih giat, ramal penganalisis.

RON95
Kerajaan terus menyalurkan bantuan BUDI Diesel, sambil mengekalkan subsidi diesel untuk Malaysia Timur.
PETALING JAYA:
Penganalisis meramalkan kerajaan akan pergiatkan usaha mengurangkan ketirisan dan pembaziran di kala ia menanggung subsidi yang lebih tinggi lantaran kenaikan harga minyak dunia.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School turut meramalkan usaha pembanterasan rasuah yang lebih giat serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di sempadan bagi mencegah penyeludupan minyak.

“Selain itu projek kerajaan hanya akan dilaksanakan jika ianya benar-benar penting. Pada masa yang sama, hasil kerajaan akan cuba dipertingkatkan melalui pemerkasaan ekonomi domestik, menarik lebih banyak pelaburan asing dan meneroka pasaran global yang lebih luas,” katanya.

Ahmed mengulas keputusan kerajaan mengekalkan bantuan BUDI Diesel pada kadar RM300 sebulan bagi April. Kerajaan menyalurkan bantuan tersebut sambil mengekalkan subsidi diesel untuk Malaysia Timur.

Bagi tempoh 2-8 April, harga runcit diesel di Semenanjung dikemaskini kepada RM6.02 seliter. Harga bersubsidi bagi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi kekal pada RM2.15 seliter; begitu juga harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pada 26 Mac, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan dalam usaha kerajaan mengekalkan harga BUDI95 pada pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, ketika harga minyak mentah mencecah USD100 setong.

Subsidi untuk RON95 dan diesel bagi Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion. Serangan udara mengejut Amerika Syarikat dan Israel mula dilancarkan pada 28 Feb.

“Jika kenaikan harga minyak dunia berterusan, kerajaan mungkin akan beralih ke arah pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar,” kata Ahmed.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Rashid, berkata kerajaan berusaha meminimumkan kesan kenaikan kos diesel, dan pada masa perlu berbelanja untuk sektor pendidikan, kesihatan, dan keselamatan, serta prasarana.

“Justeru, suatu jalan tengah perlu diambil supaya pembangunan ekonomi tidak terencat akibat daripada kejutan kenaikan kos bahan api,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.