Imigresen tahan 69 warga asing termasuk GRO di pusat hiburan Jalan Imbi

Imigresen tahan 69 warga asing termasuk GRO di pusat hiburan Jalan Imbi

Jabatan Imigresen berkata kesalahan paling kerap dilakukan adalah salah guna pas lawatan sosial untuk bekerja.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 69 warga asing Jalan Imbi bernama pic 9426
Sebahagian warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Imigresen menahan 69 warga asing, dengan sebahagian besarnya dikesan bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Lokman Effendi Ramli berkata sebanyak 198 individu diperiksa dan semua warga asing yang ditahan itu kebanyakannya terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan China.

“Kesalahan paling kerap dilakukan adalah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja (termasuk sebagai GRO) dan warga asing yang datang menggunakan pas ini sudah tentu tidak mempunyai permit sah untuk bekerja.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan sekiranya mereka didapati bersalah menggaji warga asing ini dan majikan berkenaan akan turut didakwa,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut.

Dalam serbuan bermula sekitar 12 tengah malam itu, segelintir warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan memanjat tangga dan bersembunyi di atas bumbung premis, namun cubaan itu berjaya dipatahkan.

Lokman berkata operasi membanteras aktiviti tidak bermoral itu melibatkan kekuatan 89 pegawai Imigresen.

Operasi itu turut disertai Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam operasi tersebut, pihak kastam turut merampas beberapa botol minuman keras yang dipercayai cuba mengelak daripada cukai.

Sementara itu, Lokman memaklumkan bermula Januari hingga 7 April lepas, imigresen telah melaksanakan 106 Ops Gegar di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,800 orang diperiksa dengan 670 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dengan tiga negara penyumbang tertinggi kepada jumlah tangkapan ini ialah Thailand, China dan Vietnam yang merekodkan lebih 400 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata semua 69 warga asing yang ditahan awal pagi tadi dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.