
Tertuduh, Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad dan Majistret Rais Imran Hamid, menurut Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan di mahkamah sesyen, dia didakwa melakukan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34, di kedai runcit di Kampung Kemumin Jalan Sabak, pada 10.30 malam, pada 7 November 2025.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Di mahkamah majistret pula, dia turut didakwa melakukan percubaan rompak ke atas seorang lelaki, Rahman Ubaid di Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, pada 5.15 petang, pada 12 November 2025.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli dan Muhamad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan perlu melapor diri ke IPD Kota Bharu setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nur Sarah Syamimi memohon ikat jamin RM10,000 memandangkan anak guamnya sudah ditahan kerja sejak 2023.
Menurutnya, tertuduh kini bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan sebanyak RM30 hingga RM50 sehari selain menyara isteri dan dua anak.
Mahkamah sesyen dan majistret membenarkan jaminan RM10,000 serta RM7,500 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes di mahkamah sesyen ditetapkan pada 28 Jun manakala 4 Mei di mahkamah majistret.