Pembantu kantin miliki 100 video lucah didenda RM2,000

Pembantu kantin miliki 100 video lucah didenda RM2,000

Siti Munirah Muhamad didakwa memiliki bahan lucah berkenaan dalam telefon bimbitnya.

mahkamah majistret bachok
Tertuduh, Siti Munirah Muhamad, 32, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bachok hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kira-kira 100 bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu kantin didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bachok hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kira-kira 100 bahan lucah dalam telefon bimbit miliknya, awal April lalu.

Tertuduh, Siti Munirah Muhamad, 32, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid selepas membuat pengakuan terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki sebuah telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi kira-kira 100 rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga, 8 malam, Isnin lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Cawangan D11 (Seksual/Cyber) IPK Kelantan bersama beberapa unit lain hasil maklumat Op Cyber Guardian.

Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh menemukan bahan pornografi yang disimpan dalam peranti berkenaan.

Susulan itu, pihak polis merampas telefon terbabit untuk siasatan lanjut sebelum laporan forensik mengesahkan kewujudan kandungan berunsur lucah.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizaidah Abdul Salam.

Terdahulu, peguam tertuduh merayu hukuman denda memandangkan wanita terbabit seorang ibu tunggal yang berpendapatan RM35 sehari.

Pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh menjelaskan denda terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.