2 calon SPM antara 37 ditahan AADK di ICQS Bukit Kayu Hitam

2 calon SPM antara 37 ditahan AADK di ICQS Bukit Kayu Hitam

Salah seorang daripadanya disyaki menghisap rokok dipercayai mengandungi dadah ketika ke pesta Songkran di Thailand.

pelajar spm ditahan
Salah seorang calon SPM dan kakaknya berusia 21 tahun antara yang ditahan AADK ketika pulang dari Danok, Thailand selepas menghadiri festival Songkran. (Gambar Bernama)
BUKIT KAYU HITAM:
Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun antara 37 individu ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.

Pengarah AADK Kedah, Md Razif Wan, berkata dalam operasi yang dijalankan bermula Sabtu hingga petang semalam, sebanyak 47 orang telah menjalani ujian saringan air kencing.

“Daripada jumlah itu, 37 orang didapati positif dadah dan kebanyakannya adalah golongan belia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kes pertama, calon SPM (lelaki) dan kakaknya berusia 21 tahun ditahan sebaik pulang dari Danok, Thailand selepas menghadiri pesta Songkran di sana.

“Hasil ujian mendapati kakak positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, MDMA dan ketamin, manakala adiknya yang merupakan calon SPM tahun ini positif ketamin,” katanya.

Razif berkata kedua-dua beradik itu mengaku mengambil bahan tersebut sekadar ingin mencuba, namun kini berdepan tindakan lanjut selepas ditahan pihak berkuasa.

Beliau berkata mereka dipercayai terdedah kepada bahan terlarang itu selepas disyaki menghisap rokok yang dipercayai mengandungi dadah ketika menghadiri pesta Songkran di negara berkenaan.

“Seorang lagi calon SPM (lelaki) ditahan selepas ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis ketamin, bersama rakannya berusia 22 tahun di sekatan jalan raya AADK di kompleks sama.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Razif turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja agar tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti berisiko ketika berada di luar negara.

Beliau berkata AADK akan terus memperkasakan pendidikan pencegahan dalam usaha mengekang trend penglibatan remaja bawah umur, sekali gus memutuskan rantaian penagih baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.