Peniaga didakwa buat laporan palsu terhadap usahawan

Peniaga didakwa buat laporan palsu terhadap usahawan

Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, didakwa beri maklumat palsu kepada polis pada 2021.

gavel
Peniaga, Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Setiu atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap seorang usahawan berhubung dakwaan penipuan hartanah. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Setiu atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap seorang usahawan berhubung dakwaan penipuan hartanah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat bertulis yang diketahuinya palsu mendakwa seorang usahawan, Azlan Al Amin, terlibat dalam penipuan urusan hartanah milik bapanya di IPD Setiu pada 2021.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat supaya penjawat awam menggunakan kuasanya sehingga mendatangkan kegusaran kepada individu lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin.

Bagi kesalahan itu, Shahruldi didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan, namun pihak pendakwaan memohon jaminan setimpal dikenakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 10 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pada Disember tahun lalu, Azlan dilaporkan membuat laporan polis balas, mendakwa laporan berkenaan berunsur fitnah dan berniat jahat serta memohon siasatan semula dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.