Temerloh kerusi tradisi kami, tiada rancangan serah pada PKR, kata ketua Amanah Pahang

Temerloh kerusi tradisi kami, tiada rancangan serah pada PKR, kata ketua Amanah Pahang

Mohd Fadzli Ramly berkata kawasan itu pernah dimenangi partinya pada PRU14.

Ketua Amanah Pahang Mohd Fadzli Ramly
Ketua Amanah Pahang Mohd Fadzli Ramly mengulas keputusan PKR Temerloh yang sebulat suara meluluskan usul bertanding di Parlimen Temerloh pada PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah tetap mahu meletakkan calon untuk kekal bertanding di Parlimen Temerloh bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan pada PRU16.

Ketua Amanah Pahang, Mohd Fadzli Ramly, berkata kawasan itu merupakan kerusi tradisi Amanah dan parti itu pernah memenanginya pada PRU14, sebelum tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Amanah akan pertahan mahu kekal bertanding di Parlimen Temerloh kerana ia adalah kerusi tradisi ditandingi kita,” kata Adun lantikan DUN Pahang itu kepada FMT.

Beliau mengulas keputusan PKR Temerloh pada 12 April lalu yang sebulat suara meluluskan usul bertanding dan menerajui Parlimen Temerloh menjelang PRU16.

Fadzli turut memaklumkan sehingga kini PH Pahang tidak pernah membincangkan soal pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU16, termasuk cadangan menyerahkan kerusi Temerloh kepada calon PKR.

Katanya, Amanah menghormati hak sekutunya, PKR, membuat usul berkenaan. Namun, keputusan akhir akan diputuskan secara konsensus dalam gabungan PH termasuk bersama Barisan Nasional (BN), jika kerjasama memasuki pilihan raya di bawah payung kerajaan perpaduan.

“Kita menghormati (usul) rakan kita, tapi kita juga ada kekuatan di beberapa Parlimen lain contohnya di Indera Mahkota, bagaimanapun memandangkan calon (PKR) masa itu mendapat kedudukan undi kedua kita tak bising (menuntut), kita tak ada masalah nak benarkan mereka (PKR) terus bertanding di Indera Mahkota sebab hormat rakan,” katanya.

Beliau juga mendakwa kerjasama dengan rakan komponen dalam PH dan BN Pahang kekal baik termasuk di Parlimen Temerloh.

“Kita mendapat kerjasama baik dari BN, komponen PH di Pahang, malah di DUN Mentakab bawah Parlimen Temerloh…DAP tidak ada masalah mengekalkan Amanah sebagai parti yang akan bertanding di Temerloh,” katanya.

Pada PRU15, calon PN, Salamiah Mohd Nor, menang Parlimen Temerloh dengan majoriti 5,520 undi.

Salamiah memperoleh 30,929 undi, meninggalkan lawannya Mohd Hasbie Muda dari Amanah mewakili PH (25,409 undi), Mohd Sharkar Shamsudin mewakili BN mendapat 25,191 undi, manakala calon Pejuang, Aminuddin Yahaya, hanya mendapat 1,108 undi.

Amanah pernah memenangi kerusi Temerloh pada PRU14 melalui pencalonan Anuar Mohd Tahir dengan majoriti 1,904 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.