
Pengerusi Majlis Ulama Umno Dusuki Ahmad, berkata semua pihak yang bercakap atas nama agama wajib memastikan setiap perkataan dibuat berdasarkan fakta sahih, beradab, dan bertanggungjawab.
“Kita tidak boleh membiarkan polemik seperti ini terus memecahbelahkan umat Islam serta mengheret masyarakat ke arah budaya permusuhan sesama Muslim,” katanya menurut Bernama.
Terdahulu, tular video memaparkan Nik Zawawi semasa ceramah politik di Kuala Terengganu minggu lalu yang didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dilaporkan telah memohon maaf hari ini dan mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan mengenai para sahabat Rasulullah SAW.
Dalam pada itu, Dusuki berkata, umat Islam, khususnya pengikut Ahli Sunnah Waljamaah wajib meyakini sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat dan diangkat menjadi sahabat rapat baginda bukan semata-mata kerana hubungan zaman, tetapi kerana keimanan, pengorbanan, akhlak, dan adab mereka yang tinggi terhadap Nabi Muhammad dan ajaran Islam.
Justeru, beliau berkata Majlis Ulama Umno menyeru semua pihak terutama PAS supaya tidak bertindak melulu dalam isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R), selain mengelakkan budaya takfir serta fitnah yang boleh mengeruhkan lagi hubungan sesama umat Islam.
“Politik mestilah dipandu dengan ilmu dan akhlak. Perbezaan parti politik tidak boleh membawa kepada penghinaan tokoh-tokoh Islam antara satu sama lain,” katanya.