
Vaksin adalah antara penemuan yang paling penting dalam bidang perubatan oleh kerana membawa manfaat yang sangat besar. Dengan adanya vaksin, banyak penyakit dan wabak hampir hilang di semua penjuru dunia seperti polio.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini pengaruh gerakan anti-vaksin makin kuat. Ini membimbangkan pihak yang terlibat dalam sektor kesihatan awam. Anda juga perlu bimbang terutama jika mempunyai anak kecil kerana pengurangan dalam kadar program vaksin akan membawa kesan mudarat kepada seluruh masyarakat. Penyakit seperti demam campak (measles) makin menjadi-jadi kerana penolakan vaksin.
Banyak sumber bertauliah disebarkan bagi menyangkal fahaman tidak berasas tentang vaksin. Doctor On Call juga ingin menyertai usaha ini dengan perkongsian dari sudut berbeza. Di bawah adalah senarai penyakit yang dicegah oleh vaksin dan kesannya ke atas tubuh badan.

Tuberculosis(TB) adalah sejenis bakteria yang biasanya merosakkan organ peparu. Ia juga mampu bergerak di dalam darah dan membawa jangkitan di otak dan kulit. TB masih berleluasa di benua Asia dan di sesetengah tempat, terdapat jenis TB yang tidak mampu dibunuh oleh apa-apa jenis antibiotik. Vaksin BCG mampu mengelakkan seseorang untuk menghidapi TB di otak. Antara kesan TB adalah sesak nafas, batuk berdarah dan turut berat badan secara mendadak.

Polio, atau poliomyelitis, adalah penyakit yang menjangkiti otak dan saraf tunjang. Seseorang yang dijangkiti mungkin lumpuh. Ia membunuh kerana boleh menyebabkan otot-otot pernafasan berhenti berfungsi. Hanya 3 negara di dunia yang masih melawan penyakit ini. Hilangnya polio di dunia adalah kerana kejayaan program vaksinisasi. Video ini menunjuk kesusahan seorang pesakit polio dalam bergantung kepada mesin ‘iron lungs’ atau peparu besi untuk membantunya bernafas.
Haemophilus Influenzae B (Hib) merebak melalui udara. Bakteria ini sangat berbahaya kepada kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Jangkitan Hib menyebabkan sesak nafas kerana proses radang di tekak. Ia juga menyebabkan pneumonia.
Tetanus adalah jangkitan yang dibawa oleh bakteria Clostrium tetani. Bakteria ini membiak di tanah dan permukaan yang kotor. Bakteria ini menyerang sistem saraf. Jangkitan yang teruk boleh membawa kepada kekejangan otot dan masalah bernafas. Tetanus juga sering dipanggil ‘lockjaw’ kerana terdapat kes di mana orang yang dijangkiti menghadapi masalah membuka mulut atau menelan makanan.
Pertussis dikaitkan dengan gejala batuk kokol atau ‘whooping cough’. Batuk yang tidak terhenti membuat kanak-kanak tersebut sesak nafas. Penyakit ini dibawa oleh kuman Bordotella pertussis dan sangat bahaya bagi bayi.

Beguk atau “mumps” adalah jangkitan virus yang senang merebak. Virus ini membuatkan kelenjar parotid bengkak dan membawa kepada rasa sakit. Kelenjar parotid berfungsi untuk menghasilkan air liur untuk menghadam makanan. Walaubagaimanapun, penyakit ini biasanya tidak sebahaya penyakit lain di senarai ini.
Rubella juga adalah jangkitan virus yang kebiasaannya tidak begitu serius bagi kanak-kanak kecil tetapi mungkin bahaya bagi bayi.. Mereka yang dijangkiti rubella akan mendapat simptom demam, sakit tekak dan ruam di seluruh badan.
Kanser pangkal rahim dan ketuat di alat kelamin adalah antara penyakit yang boleh terjadi akibat jangkitan Human papilloma Virus (HPV). Vaksin ini baru dikeluarkan dan efektif melawan HPV jenis 16 dan 18 yang menjadi punca kepada 70% kes kanser pangkal rahim.
Demam campak atau “measles” makin meningkat di kalangan kanak-kanak kerana makin ramai yang menolak vaksin. Di peringkat global, demam campak adalah antara sebab utama kematian dalam golongan kanak-kanak. Perkara ini menyedihkan kerana terdapatnya vaksin yang boleh mencegah demam campak merebak. Antara kemudaratan yang dibawa virus ini adalah jangkitan otak dan membuat seseorang jadi buta.

Hepatitis B adalah virus yang menyerang organ hati. Antara simptom jangkitan hepatitis adalah “jaundice” di mana kulit dan mata bertukar kuning. Hepatitis B membawa kepada cirrhosis, kanser hati dan kematian.
Kami berharap perkongsian ini sedikit sebanyak membantu dalam meyakinkan anda dalam usaha golongan perubatan untuk menguatkan program vaksin. Dengan usaha yang kecil ini, setiap anak yang lahir dalam masyarakat ini akan dilindungi dari bahaya yang tidak sepatutnya diberi peluang merosakkan masa hadapan mereka. Jika anda masih mempunyai kemusykilan, sila merujuk kepada doktor anda.
DoctorOnCall adalah klinik dalam talian pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat perundingan menerusi mesej, panggilan telefon dan panggilan video kepada doktor berdaftar Malaysia secara langsung di www.doctoroncall.com.my
Facebook: https://www.facebook.com/doctoroncallMY
Instagram: https://www.instagram.com/doctoroncallmy
PENAFIAN: Maklumat artikel ini tidak sama sekali menggantikan nasihat doktor profesional. Anda digalakkan mengesahkan setiap maklumat yang dikongsi dengan sumber lain, dan menilainya dengan doktor anda. Amaran: Jangan sesekali tidak menghiraukan atau membelakangkan nasihat doktor profesional atau pakar hanya kerana maklumat yang dibaca di sini. FMT tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kerosakan disebabkan maklumat artikel ini.