Peguam: SPRM, KP tidak ada asas saman fitnah Guan Eng

Peguam: SPRM, KP tidak ada asas saman fitnah Guan Eng

Surendran menyifatkan kata dua SPRM terhadap Lim Guan Eng agar memohon maaf kerana mendakwa penahanan seorang exco kerajaan negeri Pulau Pinang "tidak sah" sebagai perkembangan tidak sihat di Malaysia.

surendran-macc
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran menyifatkan kata dua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng agar memohon maaf kerana mendakwa penahanan seorang exco kerajaan negeri Pulau Pinang “tidak sah” sebagai perkembangan tidak sihat di Malaysia.

Wakil rakyat PKR itu berkata, badan-badan awam di negara demokratik tidak boleh mengancam tindakan undang-undang berhubung kritikan yang diutarakan kerana ia adalah hak rakyat mempersoalkan atau mengkritik tindakan sedemikian.

Pada masa yang sama, Surendran berkata, SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad juga tidak mempunyai asas untuk mengambil tindakan undang-undang, sama ada sivil atau jenayah, terhadap ketua menteri.

Beliau juga seorang berkata, Dzulkifli harus ingat dalam demokrasi, badan awam dibiayai oleh pembayar cukai seperti SPRM tidak boleh membawa tindakan saman fitnah terhadap orang ramai berhubung sebarang kritikan yang dibuat.

“Secara moral dan perundangan adalah salah untuk berbuat demikian, dan ia menghalang ketelusan dan akauntabiliti badan awam.”

Malah katanya, pendirian SPRM itu menunjukkan seolah-olah badan terbabit tidak boleh menerima kritikan, dan ia perkembangan “tidak sihat dan tidak menggembirakan buat negara.”

Laporan Bernama semalam memetik Dzulkifli berkata, Guan Eng berdepan tindakan sivil atau jenayah sekiranya beliau tidak memohon maaf secara terbuka kepada SPRM dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini berikutan kenyataannya yang menyifatkan tindakan menahan exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh sebagai ‘penahanan haram’, kata Dzulkifli.

Beliau berkata setakat semalam SPRM masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada Guan Eng.

“Sebagaimana saya kata sebelum ini, kita minta Guan Eng tarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh yang kita tetapkan.

“Jika tiada (permohonan maaf secara terbuka), baru kita tengok apa tindakan yang patut diambil sama ada bersifat sivil atau jenayah,” katanya.

SPRM, dalam kenyataannya kelmarin meminta Guan Eng membuat permohonan maaf itu secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh 48 jam daripada kenyataan itu dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

SPRM berkata kenyataan Guan Eng yang menyifatkan penahanan Boon Poh sebagai ‘penahanan haram’ adalah kenyataan berunsur fitnah yang bertujuan memburuk-burukkan nama baik serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

Dalam kenyataannya, Surendran juga berkata, Seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan apa-apa pendapat dengan niat baik tentang “kelakuan seorang penjawat awam dalam melaksanakan fungsi awam” tidak jatuh dalam kategori fitnah.

Ia juga menyatakan apa-apa pendapat sedemikian hendaklah dianggap dengan niat baik, kata beliau.

“Kanun Keseksaan itu secara khusus mengakui kritikan terhadap penjawat awam atau badan adalah sah, dan melindungi kritikan-kritikan seumpama itu,” katanya.

“Ia juga selaras dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, peguam Guan Eng, Ramkarpal Singh berkata, keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Abdul Wahab Mohamed mengetepikan perintah reman selama 5 hari yang dikeluarkan pada 12 Ogos terhadap Boon Poh dan 2 yang lain dengan jelas memutuskan penahanan mereka adalah tidak sah kerana ia berdasarkan perintah tidak sah.

Wahab membuat keputusan atas perintah itu, yang dibuat terhadap Boon Poh dan 2 pemilik kilang pemprosesan karbon yang tidak sah di Sungai Lembu di Seberang Perai, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.

Guan Eng belum mohon maaf, SPRM pertimbang tindakan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.