
Semua barangan itu dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi tiga serbuan berasingan Op Kontraban diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa sejak jam 12 tengah hari.
Komander Briged PGA Sabah Mohd Abduh Ismail, berkata serbuan pertama membabitkan nilai rampasan berjumlah RM322,275 selepas cukai di sebuah kedai runcit di Kampung Batition yang dijaga dua lelaki berusia antara 17 dan 43 tahun.
Abduh berkata, mereka kemudiannya menahan dua suspek terbabit untuk tindakan lanjut.
Dalam serbuan kedua pula katanya, mereka berjaya merampas lagi rokok dan minuman keras bernilai RM 608,103 di Kampung Cenderamata, Telupid.
“Rumah ini didiami seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun,” katanya dalam satu kenyataan menurut laporan Utusan Malaysia, hari ini.
Abduh berkata, mereka kemudiannya melakukan serbuan ketiga di sebuah stor berkunci di Kampung Basai Baru, Bontition dan hasil pemeriksaan menemukan rokok dan minuman keras bernilai RM123,427.
Beliau berkata rokok dan minuman keras itu dipercayai diseludup masuk untuk pasaran di sekitar Beluran.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.