Syed Saddiq minta dibicara atas tuduhan seleweng RM120,000 dana pilihan raya Bersatu

Syed Saddiq minta dibicara atas tuduhan seleweng RM120,000 dana pilihan raya Bersatu

Ahli Parlimen Muar itu berdepan satu tuduhan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyeleweng dana parti yang sepatutnya digunakan untuk PRU14.

KUALA LUMPUR:
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta dibicarakan atas satu lagi tuduhan menyeleweng dana pilihan raya milik Pemuda Bersatu sebanyak RM120,000, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Beliau berdepan satu tuduhan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana secara curang menyalahgunakan harta milik sayap parti itu, iaitu wang sumbangan untuk kempen pilihan raya umum 2018 (PRU14) sebanyak RM120,000.

Jika didapati bersalah, Syed Saddiq berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah meminta mahkamah menetapkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin buat Syed Saddiq.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo berhujah bahawa nilai jaminan yang diminta pihak pendakwaan itu lebih tinggi daripada nilai RM120,000 yang didakwa diseleweng.

“Kami meminta mahkamah menetapkan (jaminan) RM20,000,” katanya.

Ibu dan bapa Syed Saddiq, Sharifah Mahani dan Syed Abdul Rahman Abdullah Al-Sagoff hadir di Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada anak mereka.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, dan memerintahkan agar nilai itu dibayar hari ini.

Mahkamah juga menetapkan 10 Sept sebagai tarikh sebutan akan datang.

Awal hari ini, Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan menyeleweng wang RM1 juta milik Pemuda Bersatu, yang pernah diketuainya.

Beliau berdepan tuduhan bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah kerana didakwa mengeluarkan wang parti berjumlah RM1 juta daripada bank tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Syed Saddiq diperintah untuk membayar jaminan RM300,000 bagi kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.