
Dalam kenyataan bersama termasuk Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu yang juga ketua Bersatu Tambun, mereka berkata sidang media diketuai Ketua Bersatu Pasir Salak Zainol Fadzi Paharudin tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan Bersatu Perak.
“Semakan mendapati hanya sembilan ketua bahagian hadir pada sidang media itu manakala yang lain bukan pemegang jawatan bahagian.
“Justeru, kehadiran mereka tidak boleh ditafsir sebagai pendirian kolektif Bersatu Perak,” katanya dalam kenyataan.
Selain Faisal atau dikenali ‘Peja’ kenyataan itu turut disokong Mohader Ahmad Ayob (Batu Gajah), Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Azhar Anuar (Bagan Datuk), Hashim Bujang (Kuala Kangsar), Yadzan Mohammad (Tanjong Malim).
Kader Maideen Hussain (Taiping), Khairul Azuan Noor (Lenggong), Mohd Azrien Salleh (Lumut), Md Nayan Salleh (Parit Buntar), Lutpi Abd Wahab (Sungai Siput), Ruslan Shaari (Gerik), Ahmad Faisal Mansor (Beruas) dan Hishammudin Tajuddin (Parit).
Selain menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin, ketua bahagian itu turut menegur Zainol yang tidak menggunakan kedudukan sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu untuk menyalurkan sebarang cadangan.
“Tindakan membawa isu parti melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi dan bercanggah disiplin parti,” katanya.
Semalam, Zainol mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden kerana didakwa gagal menangani kemelut dalaman parti itu yang boleh diselesaikan dengan baik dan segera jika dikawal di peringkat awal.
Kemelut dalaman Bersatu bermula ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, September lalu susulan penyebaran surat layang yang mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Turut dipertikaikan resolusi meluluskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu yang akan dibawa ke mesyuarat Perikatan Nasional (PN).
Kemelut bertambah hangat selepas pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tatakelakuan parti.
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah pula dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk disiasat berhubung dakwaan terbabit dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin.
Keadaan reda seketika bagi membolehkan Bersatu menumpukan kepada PRN Sabah pada 29 Nov lalu yang menyaksikan parti itu tewas di semua 33 kerusi ditandingi termasuk Naib Presiden Ronald Kiandee di Sugut.