Selekehnya wacana RUU Syariah

Selekehnya wacana RUU Syariah

Kedua-dua pihak menggunakan taktik menakut-nakutkan. Pihak menentang mengulang hujah yang sebenarnya sudah dijelaskan berulang kali, dan pihak yang menyokong pula mengulang ratib lama.

RRU335
KUALA LUMPUR: Dua minggu lalu berlangsung forum mengenai kesan Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kepada orang bukan Islam di Petaling Jaya.

Dewan forum penuh sehinggakan penganjur terpaksa menambah kerusi, namun belum memadai sehinggakan masih ada hadirin terpaksa berdiri di belakang.

Empat ahli panel bukan Islam dan terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, NGO dan korporat.

Kerisauan terhadap pindaan ini ternyata berasas dan boleh difahami, dengan mengambil kira pelbagai kes yang melibatkan bukan Islam di Mahkamah Syariah sebelum ini – yang paling mendapat perhatian tentulah perebutan anak dalam perkahwinan antara agama.

Individu beragama Islam yang mempunyai pengalaman peribadi dengan sistem ini – seperti saya – pula pasti merasakan perkara paling utama dalam pemerkasaan sistem tersebut adalah memperkemas pentadbiran dan memperlicin perjalanan kes yang dibicarakan, bukannya meningkatkan hukuman. Misalnya tidak sedikit kes penceraian yang memakan masa panjang, memberi tekanan kewangan dan emosi kepada pasangan.

RUU 355 bertujuan meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah, daripada 3-5-6 (penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5,000, sebatan tidak lebih 6 kali) kepada “hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain dari hukuman mati”.

Forum tidak akan menyelesaikan masalah atau apa yang dilihat sebagai masalah, termasuklah forum RUU ini. Namun sekurang-kurangnya hadirin pulang dengan membawa sedikit pemahaman berhubung isu yang dibicarakan, yang biasanya terkait dengan soal awam.

Tetapi amat mengecewakan apabila seorang panel (masih) penuh yakin mengaitkan jenayah rogol dan rogol statutori dengan pindaan tersebut.

“Pembuktian hanya melalui kesaksian 4 lelaki Muslim. Jika ada 2 lelaki beragama Hindu yang menyaksikannya, ia tidak terpakai. Begitu juga dengan bukti saintifik,” katanya disambut keluhan dan gelengan kepala berjemaah oleh para hadirin.

Seorang panel kemudian membalas dengan berkata “tetapi rogol di bawah Kanun Keseksaan”, namun entah mengapa tidak mengulas dengan lebih lanjut.

Ia meninggalkan “after-taste” yang teruk, walaupun rata-rata menawarkan hujah yang baik.

Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) pada 19 Mac 2015, entah berapa ratus (atau ribu) berita, komentar dan analisis ditulis tentangnya.

Hujah seumpama ini sudah diutarakan jurucakap G25 Noor Farida Ariffin pada awal 2015, yang mengatakan pesalah laku seks kanak-kanak (rogol statutori) akan berkerumun di Kelantan kerana di sana kesalahan mereka sukar dibuktikan.

Dua tahun berlalu dan masih ada yang mengutarakan fakta yang salah, justeru begitu selekeh dalam berhujah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika menjawab salah faham terhadap pindaan itu berkata, ia melibatkan kesalahan yang dibicarakan di bawah mahkamah syariah. Rogol di bawah Kanun Keseksaan.

Maka pembezaan zina (yang dibicarakan di bawah mahkamah syariah) dan rogol dilakukan berdasarkan laporan yang dibuat, iaitu prosedur sedia ada seperti sekarang. Namun perlu diakui di negara majoriti Muslim yang patriarki, ketidakadilan sering berlaku apabila mangsa rogol dituduh berzina lalu dihukum.

Bagaimana jika ia dimasukkan sebagai kesalahan syariah?

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali masing-masing menjelaskan pada 2014 (dan dilaporkan media), pembuktian saintifik dan fizikal tidak ditolak.

Ada banyak sebab menolak langkah PAS ini, tetapi aspek pembuktian rogol bukanlah salah satu daripadanya.

Barangkali semua pihak sudah menetapkan sikap lebih awal – sama ada bersetuju dan menentang. Maka bacaan dipilih untuk menyokong sikap yang sudah ada. Lebih malang, sikap tersebut didasari dengan sokongan politik masing-masing.

Kedua-dua pihak menggunakan taktik menakut-nakutkan. Pihak menentang mengulang hujah yang sebenarnya sudah dijelaskan berulang kali.

Tidak perlu cerita tentang pihak yang menyokong; ramai hanya mengulang ratib “orang bukan Islam tidak perlu masuk campur” dan “orang Islam perlu menyokongnya hanya kerana ia undang-undang Tuhan” – tanpa menyedari sudah berapa kali undang-undang Tuhan itu dipinda.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor sendiri mengatakan ia bukan sakral, dan mengecam mereka yang mudah mengkafirkan pihak yang tidak bersetuju dengannya.

Benar, tiada sebab untuk menerima sepenuhnya kata-kata 2 pemimpin PAS itu. Pada masa sama, tiada sebab juga untuk menolaknya bulat-bulat. Paling penting adalah apa yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
“Ketika perbahasan nanti, tentulah ada ruang untuk menambahbaik dan mengkritik,” kata Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan 9 September lalu.

Ulang baca: mengkritik.

Tetapi malangnya beratus berita, komentar dan analisis nampaknya gagal menjadikan kita lebih cerdik dan bersedia menjelang pembentangan penting itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.