Antara kesejahteraan awam dan syariah

Antara kesejahteraan awam dan syariah

Kelompok Islamis harus lebih serius dalam menyemak kembali indeks jenayah syariah bukan sebaliknya

islam_law

Oleh Shazreen Mohd

Perdebatan mengenai penerapan hukum syariah sehingga kini tidak pernah berhenti.

Walau sudah ada contoh negara yang melaksanakan undang-undang syariah, realitinya, kepincangan atau kerosakan itu lebih terpampang. Dan ia langsung gagal menutup kerosakan sekalipun dilaung-laungkan atas nama agama.

Ia menjadi satu hal yang menjadi kebingungan kita hari ini – bagaimana makna tuntutan undang-undang syariah ini diterjemah ke dalam bentuk negara moden yang bersifat kosmopolitan?

Aktivis Islam ternyata gagal mengheret wacana ini ke dalam diskusi publik yang lebih rasional. Atas hal ini, diskusi negara Islam dan negara sekular terus berlanjutan.

Namun akibatnya, kedua-dua konsep itu masih gagal menemukan kepuasan pengertian sebenar.

Mungkin sebab itulah gerakan Islam seperti PAS yang mahu mengangkat kembali ajaran Islam ke puncak tertinggi, tidak lagi menggunakan istilah hukum hudud.

Namun, keghairahan mengangkat hukum Islam itu masih wujud dengan alasan memperkukuh atau memperkasakan undang-undang syariah melalui perjuangan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355.

Realitinya, PAS sekali lagi gagal mentafsir tindakan kebijakan sebuah negara demokrasi. Upaya menampilkan Islam sebagai jalan hidup altenatif melalui pendekatan sistem hokum, hanya membawa reaksi penolakan dari sebahagian masyarakat.

Penolakan ini bukan bermakna sesebuah negara harus menolak agama atau pemerintahannya terlepas dari kendalian keagamaan, sebaliknya nilai agama atau masyarakat beragama itu tetap terus terbangun biarpun tanpa desakan kewujudan undang-undang syariah.

Mendahulukan kesejahteraan awam

Menelusuri sejarah, kepincangan sesebuah masyarakat sering kali terjadi kepada rejim yang mengangkat syariat Islam melalui jalan pintas hingga akhirnya membentuk sebuah negara autoritarianisme.

Kelompok Islamis yang melulu kepada sebuah negara hukum Islam, ternyata gagal mengambil serius tentang hal yang disebut sebagai indeks kemaslahatan masyarakat. Sedangkan realitinya hari ini banyak ia banyak menyumbang kepada kemaksiatan atau disebut fasad.

Dalam hal konstitusi, perbincangan tentang kemaslahatan atau kebaikan warganegara adalah isi terpenting. Keseriusan dalam menyemak hal ini seperti faktor jenayah – ia bermula daripada kesempitan hidup, kerosakan institusi kekeluargaan, kepincangan sistem pendidikan, kerosakan rasuah, salah urus tadbir, pemimpin korup, jenayah pornografi meningkat, krisis penceraian dan penghuni pesakit mental makin bertambah.

Ini terjadi apabila nilai agama iaitu konsep keadilan, gagal berfungsi dengan baik akibat kelemahan institusi keagamaan dan kemasyarakatan.

Indikator ini harus dibincang meliputi urusan pertumbuhan ekonomi dan perlindungan semua warganegara. Tidak dapat tidak, akar ini bermula dengan kefahaman ajaran autentik Islam.

Dalam pandangan Islam, semua perkara jenayah di atas disebut fasad (kerosakan) yang berpunca kerana tindakan manusia yang gagal memahami pesan beragama.

“Timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat” (30:41).

Melalui itu, pokoknya adalah keadilan seperti diungkap Ibnu Taimiyyah dalam Shalah al-Din al-Munajjid:

“Jika urusan dunia ini diperintah dengan nilai keadilan, maka masyarakat akan menjadi sihat, biarpun terdapat keburukan moral peribadi para penguasa, dan jika urusan dunia ini diperintah dengan kezaliman, maka masyarakat akan runtuh tanpa peduli kesalahan peribadi para penguasa yang tentunya akan diberi pahala diakhirat nanti. Maka urusan dunia akan tegak dengan baik kerana keadilan,sekalipun tidak ada keagamaan, dan akan runtuh kerana kezaliman sekalipun disertai dengan Islam.”

Oleh itu, prinsip keadilan adalah nilai utama dalam kehidupan kenegaraan.

Ini kerana, menurutnya, wujud keserasian sosial dalam erti keamanan, ketertiban, kemantapan dan keberhasilan. Melalui usaha ini, menyemak imbang kesejahteraan dan meninjau pengajaran pelakuan tindakan syariah di negara Islam yang mengamal undang-undang syariah.

Misalnya melihat sejauh mana hukum itu menciptakan kemaslahatan kepada warganegaranya dan sejauh mana hukum berkenaan sesuai dengan tuntutan moden dan demokrasi.

Sebagai contoh, negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Iran mahupun Sudan yang mengamalkan undang-undang itu sejak 1989, rata-ratanya menemui kegagalan dalam praktis kemanusiaan yang plural.

Jadi, kelompok Islamis harus lebih serius dalam menyemak kembali indeks jenayah syariah bukan sebaliknya. Institusi ini harus diperkasakan supaya indeks kemaslahatan publik berada pada tahap tertinggi sekaligus mengurangkan perilaku jenayah.

Nilai syariah yang universal

Syariah adalah perundangan yang diturunkan Allah melalui Rasulullah untuk seluruh manusia termasuk urusan ibadah, akhlak, makanan, pakaian mahupun interaksi sesama manusia.

Syariah bukanlah tentang sekadar hal hudud semata-mata tetapi menyeluruh dalam kehidupan.

Melaksanakan syariah adalah isi terpenting dalam pengamalan individu Muslim seperti yang sudah maklum, namun syariah itu juga dapat dirasai dalam kehidupan berbangsa dan bernegara dalam masyarakat didalamnya.

Intipati syariah itu disedari dan dirasai melalui pengamalan masyarakat yang beragama walaupun berada dalam negara bukan Islam.

Oleh itu, masyarakat Muslim harus meletakkan sumber ajaran dan nilai Islam sebagai keutamaan dalam membentuk komponen budaya sekaligus membawa masyarakat bersifat humanis.

Sepatutnya, inilah yang menjadi tujuan terbesar iaitu mengintegrasi pemikiran Islam dan nilai kemanusiaan.

Masyarakat harus dibentuk dengan akhlak yang sempurna dan kefahaman nilai kebaikan yang asas. Manusia harus diajar untuk lebih beragama kerana agama fitrahnya diwahyukan untuk menguatkan fitrah sedia ada dalam dirinya dengan Tuhannya. Daripada situ, nilai universal dibentuk melalui kesedaran dan kecenderungan mencari kebaikan dan kebenaran.

Bermula dengan hal tertentu dalam beragama, seperti menyedari tanggungjawabnya dengan Tuhan, ia akan membentuk iman dan jiwa yang bersandar pada ikatan ihsan iaitu keinginan berbuat kebaikan untuk semua manusia.

Nilai ini mampu membawa daripada hal tertentu kepada hal universal. Agama dapat dirumuskan kepada ketinggian nilai kemanusiaan dan mampu mewujudkan kehormanian, kemuaafakatan dalam keyakinan penganut agama yang pelbagai tanpa melihat perbezaan dalam budaya kehidupan.

Justeru, agama dapat memberi sumbangan kepada proses demokrasi dan membentuk masyarakat moden yang beradab.

Syariah harus selalu diperbaharui sehingga mencapai tujuannya iaitu penghambaan diri kepada Tuhan.

Syariat Islam diturunkan bukan hanya untuk masyarakat Islam sahaja melainkan untuk seluruh umat manusia. Maka dari itu, kebebasan dan hak-hak non-Muslim harus dilindungi.

Menurut pemikir Islam Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur, jalinan aspirasi keagamaan seperti penegakan keadilan, penumbuhan demokrasi, penjagaan kelestariaan alam, dan pengembangan struktur ekonomi yang berwatak kerakyatan harus dijadikan sumber inspirasi bagi aspirasi “bukan keagamaan” di kalangan gerakan keagamaan yang menyajikan sistem pemerintahan.

Inilah dasar ajaran Islam yang harus diutamakan oleh kelompok gerakan Islam.

Syariah harus hidup dalam setiap individu, bukan hanya tempelan kemegahan pihak tertentu demi kepentingan duniawi.

 Mohd Syazreen Abdullah ialah lulusan pengajian Syariah di Universiti Yarmouk, Jordan dan penulis buku “Bercakap Dengan Quran”.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.