Kastam Kelantan rampas rokok seludup RM1.45 juta

Kastam Kelantan rampas rokok seludup RM1.45 juta

Rampasan itu dilakukan dalam serbuan di Taman Wira Perdana di Gua Musang 17 Sept lalu.

Pemangku Pengarah JKDM Kelantan Koh Joo Khai menunjukkan rampasan rokok pada sidang media di Wisma JKDM Padang Bongor, hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas sejumlah 1.86 juta batang rokok bernilai RM1.45 juta termasuk cukai dalam serbuan di Taman Wira Perdana di Gua Musang, pada 17 Sept lalu.

Pemangku Pengarahnya, Koh Joo Khai, berkata serbuan pada 4 petang itu dilakukan hasil maklumat dan intipan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu melalui Ops Mekong Dragon V dan Ops Irene V.

“Berdasarkan maklumat tersebut kita telah membuat serbuan dan menahan sebuah lori Nissan yang ditinggalkan di tepi jalan taman berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, kita temui sebanyak 1,860,000 batang rokok seludup dalam kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai RM204,600 dan anggaran cukai RM1,248,060,” katanya pada sidang media di JKDM.

Mengulas lanjut, beliau berkata JKDM percaya bekalan rokok seludup yang dirampas itu dalam perjalanan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, modus operandi digunakan adalah menyeludup masuk rokok tersebut dari negara jiran menggunakan pelbagai kenderaan penumpang termasuk lori atau van untuk disimpan sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori yang telah dirampas itu dan kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.