Amila anak yang baik, kata bapa mangsa culik, bunuh

Noor-Amila-Edrus_dead_600

PETALING JAYA: “Dia anak yang baik.”

Itu kata-kata pilu Norsyam Jalil, bapa kepada Noor Amila Edrus yang mati dibunuh, dan mayatnya ditemui dalam gaung di Hulu Kelang hari ini, lapor New Straits Times Online.

Menurut laporan itu, Norsyam berkata identiti anaknya disahkan berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa.

Noor Amila, diculik selepas menunaikan solat Maghrib di surai sebuah projek perumahan awam di Jinjang Utara, dipercayai dibunuh seorang saudara keluarga, dan mayatnya dibuang ke dalam gaung.

“Dia berumur lima tahun. Dia tak tahu apa-apa,” kata Norsyam, dan menambah anaknya anak yang baik, dan boleh membaca Al-Quran bila umurnya cecah empat tahun.

Menurutnya lagi anaknya seorang yang rajin bersolat dan selalu pergi ke surau.

Norsyam menganggap mereka yang bunuh anaknya sebagai “tidak berhati perut”, dan memberitahu yang dia tidak sempat berjumpa anaknya buat kali terakhir, kerana menurut doktor mayat anaknya dalam keadaan tidak elok.

Beliau terima kematian anaknya sebagai ketentuan Allah.

Awal hari ini, media melaporkan mayat seorang kanak-kanak, dipercayai Noor Amila ditemui berhampiran sebuah sungai di Kampung Kemensah, Hulu Kelang.

Berita Harian melaporkan mayat anak kecil itu ditemui selepas suspek kes itu, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, membawa polis ke kawasan itu.